
WASHINGTON — Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memberikan jaminan luar biasa kepada negara-negara Arab dan kumpulan Palestin bahawa Washington tidak akan membenarkan Israel melanggar perjanjian gencatan senjata Gaza yang dimeterai awal minggu ini, menurut laporan eksklusif Axios pada Jumaat.
Dua pegawai AS yang enggan dinamakan mendedahkan bahawa Duta Khas Timur Tengah Trump, Steve Witkoff, bersama Jared Kushner, menantunya yang juga penasihat kanan Rumah Putih, menyampaikan mesej tegas kepada kepimpinan Hamas melalui saluran diplomatik Türkiye, Mesir, dan Qatar.
Menurut sumber itu, Trump menegaskan bahawa beliau “berdiri teguh di belakang pelan 20 perkaranya” dan akan memastikan pelaksanaannya “tanpa kompromi”.
Sebagai sebahagian daripada komitmen itu, Washington dilaporkan sedang menubuhkan pasukan petugas pemantau gencatan senjata yang diketuai oleh Amerika Syarikat sendiri. Pasukan itu akan ditempatkan di Israel dan terdiri daripada kira-kira 200 tentera serta pegawai AS, dengan penyertaan dari Mesir, Qatar, Türkiye, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pasukan berbilang negara ini dijangka memantau pematuhan kedua-dua pihak terhadap gencatan senjata, serta bertindak segera jika berlaku sebarang pelanggaran.
Langkah ini dilihat sebagai percubaan paling serius Washington dalam lebih sedekad untuk mengawal tindakan sekutunya, Israel selepas beberapa kali gencatan senjata terdahulu gagal akibat serangan unilateral dari Tel Aviv.
“Terdapat banyak ketidakpercayaan antara pihak-pihak yang terlibat,” kata seorang pegawai kanan AS kepada Axios. “Presiden mahu menjelaskan bahawa perjanjian ini penting baginya, bahawa dia mahu ia menjadi kenyataan, dan bahawa beliau mahu menamatkan pembunuhan beramai-ramai.”
Laporan itu turut menyentuh insiden pelanggaran perjanjian pada Mac lalu, apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza hanya beberapa hari selepas perjanjian damai diumumkan.
Bagi banyak pemerhati, komitmen baharu Trump ini menandakan perubahan ketara dalam pendekatan Amerika terhadap konflik Israel–Palestin daripada sekadar menyokong Israel secara mutlak, kepada peranan lebih aktif sebagai penguatkuasa perjanjian damai.
Namun, skeptisisme kekal tinggi. Pemerhati antarabangsa mempersoalkan sejauh mana Trump sanggup menekan kerajaan Netanyahu jika Israel sekali lagi melanggar perjanjian tersebut.
SUMBER : ANADOLU AGENCY
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
