
Dalam rakaman video ringkas yang tular pada pertengahan Ogos, menteri keselamatan nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, dilihat berdiri angkuh di depan seorang tahanan Palestin yang kelihatan lemah dan tidak bermaya di penjara Ganot. “Kau akan mati di sini,” ugutnya dingin.
Tahanan itu bukan sebarang banduan. Dia ialah Marwan Barghouti tokoh politik paling berpengaruh dalam landskap Palestin moden, dan mungkin satu-satunya individu yang masih mampu menyatukan rakyat Palestin di bawah satu panji perjuangan.
Sudah 23 tahun dia dipenjara, sebahagian besar waktunya dihabiskan dalam kurungan bersendirian. Namun pengaruhnya tidak pernah surut.
SIMBOL PENENTANGAN YANG TAK TERPADAM
Berusia 66 tahun, Barghouti pernah menjadi pemimpin muda Fatah yang karismatik di Tebing Barat sebelum penangkapannya pada 2002. Tuduhan terhadapnya terlibat dalam serangan yang menyebabkan lima kematian ditolak keras olehnya.
“Ini bukan mahkamah, ini teater penjajahan,” katanya suatu ketika dulu.
Walaupun dipenjarakan, beliau kekal menjadi ikon penentangan Palestin. Nama Barghouti sering muncul dalam setiap rundingan pertukaran tahanan, namun Israel berkeras enggan melepaskannya.
“Kerana Barghouti bukan sekadar tahanan. Dia simbol penyatuan, Israel tahu jika dia dibebaskan, dia akan melakukan apa yang Netanyahu gagal lakukan selama dua dekad menyatukan rakyat Palestin sebagaimana Nelson Mandela menyatukan rakyat Afrika Selatan.” kata Dan Steinbock, penganalisis politik dan penulis The Fall of Israel.
ANTARA MANDALA DAN MARWAN
Perbandingan antara Barghouti dan Nelson Mandela bukan sekadar retorik. Kedua-duanya dipenjarakan selama hampir tiga dekad; kedua-duanya menolak kekerasan buta, memilih gabungan perjuangan bersenjata dan diplomasi moral.
Sebelum penangkapannya, Barghouti pernah memimpin inisiatif Dokumen Tahanan Palestin manifesto yang menyeru pembentukan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, berasaskan sempadan 1967.
Yang menjadikannya unik ialah dokumen itu ditandatangani oleh pemimpin dari pelbagai puak Hamas, Fatah dan kumpulan penentang lain menandakan titik jarang kesatuan politik Palestin.
“Dia mewakili generasi pemimpin yang kurang berpuak, lebih nasionalistik, jika dibebaskan, dia boleh memangkinkan satu wacana kebangsaan baharu yang melangkaui sempadan politik dan geografi.” kata penulis Palestin Ramzy Baroud.
KETAKUTAN ISRAEL: KEBANGKITAN YANG TAK DAPAT DITAHAN
Bagi Israel, Barghouti adalah ancaman politik yang paling menakutkan bukan kerana senjata, tetapi kerana pengaruh.
Tinjauan terkini di Tebing Barat dan Gaza menunjukkan beliau mendahului jauh tokoh Hamas mahupun Mahmoud Abbas, dengan lebih 50% sokongan rakyat Palestin.
“Israel takut dengan keupayaannya menyatukan rakyat Palestin di belakangnya,” kata Alon Liel, bekas ketua pengarah Kementerian Luar Israel yang pernah mengenalinya secara peribadi.
Kebimbangan itu berasaskan logik realpolitik : jika Barghouti dibebaskan, beliau boleh mengubah struktur kuasa Palestin dari kepimpinan Fatah yang lemah kepada satu gerakan rakyat yang sukar dikawal oleh Israel.
DARIPADA SEL PENJARA KE JAMBATAN KEAMANAN
Barghouti tidak pernah berhenti memperjuangkan hak rakyatnya walaupun dari balik jeriji. Pada 2017, beliau mengetuai mogok lapar besar-besaran yang memaksa Israel memperbaiki hak tahanan Palestin, termasuk akses lawatan keluarga.
Kini, dalam iklim politik yang semakin rumit selepas serangan 7 Oktober, Barghouti kembali disebut sebagai watak penting dalam membentuk masa depan Gaza pasca-konflik.
Zaha Hassan, felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace, menyifatkan Barghouti sebagai “jambatan antara pembunuhan beramai-ramai dan keamanan politik.”
“Bagi Hamas dan majoriti rakyat Palestin, dia boleh diterima. Dia mempunyai kredibiliti moral yang tiada pada mana-mana pemimpin Palestin lain,” katanya.
Namun Israel dan khususnya kerajaan ekstrem kanan di bawah Netanyahu menolak idea itu mentah-mentah.
“Mereka tidak mahu melihat sebarang tadbir urus Palestin yang boleh menghidupkan semula penyelesaian dua negara,” jelas Hassan.
LEBIH DARI SEORANG BANDUAN
Bagi rakyat Palestin, nama Marwan Barghouti bukan sekadar sejarah ia adalah harapan yang masih hidup di sebalik tembok penjara Israel.
Dia bukan hanya lambang penentangan, tetapi juga janji kepada masa depan : bahawa di sebalik perpecahan politik dan penderitaan panjang, wujud seorang pemimpin yang mampu mengikat semula serpihan bangsa Palestin.
Sebagaimana Mandela pernah menulis dari Robben Island, “Kebebasan tidak pernah datang dari belas kasihan penindas, tetapi dari kekuatan mereka yang enggan tunduk.”
Bagi rakyat Palestin, Barghouti masih menulis bab itu dari dalam selnya sendiri.
SUMBER : TRT WORLD
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
