
KAHERAH/GAZA CITY — Dalam satu tindakan yang mencabar tekanan antarabangsa, Israel meneruskan operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada hari Sabtu, hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump secara terbuka mengarahkan Tel Aviv untuk “segera menghentikan” serangan ke atas enklaf yang dilanda peperangan itu.
Serangan udara dan artileri berterusan di seluruh Gaza, termasuk di Bandar Gaza, Khan Younis dan Rafah, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu. Jurucakapnya, Mahmud Bassal, berkata sekurang-kurangnya 20 rumah musnah dalam pengeboman malam tadi, sambil menambah bahawa pasukan penyelamat kini bergelut mencapai kawasan terjejas “akibat kehadiran kereta kebal Israel dan pengeboman berterusan”.
“Keadaan di Bandar Gaza sangat serius. Kami tidak mampu mencapai semua mangsa,” kata Bassal kepada AFP.
Hospital Baptist di Bandar Gaza mengesahkan empat kematian, manakala dua kanak-kanak terbunuh dan lapan yang lain cedera dalam serangan dron ke atas khemah pelarian di Khan Younis, menurut Hospital Nasser.
ISRAEL ABAIKAN AMARAN TRUMP
Kenyataan keras dari Washington disiarkan oleh Trump di platform TruthSocial menuntut agar Israel “segera menghentikan pengeboman” bagi membolehkan pembebasan tawanan Israel yang kini ditahan oleh Hamas.
Tindakan itu, menurut laporan wartawan Washington Barak Ravid dari Saluran 12 Israel, mengejutkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan mencetuskan kekeliruan dalam kabinet keselamatan Israel yang tidak menjangka perubahan nada tiba-tiba dari sekutu terkuat mereka.
Tentera Israel, dalam kenyataan bahasa Arab yang dikeluarkan di platform X oleh jurucakapnya Kolonel Avichay Adraee, memberi amaran kepada penduduk supaya tidak kembali ke kawasan utara Gaza yang kini menjadi medan operasi utama.
“Tentera IDF masih beroperasi di Kota Gaza, dan kembali ke sana adalah sangat berbahaya, untuk keselamatan anda, jauhi kawasan aktiviti ketenteraan IDF di seluruh Semenanjung Gaza.” tulis Adraee.
HAMAS : TIADA PELUCUTAN SENJATA DI BAWAH PENDUDUKAN
Dalam responsnya, Hamas menyatakan kesediaan untuk membebaskan semua tawanan Israel langkah yang disambut berhati-hati oleh masyarakat antarabangsa tetapi menegaskan bahawa pelucutan senjata hanya akan berlaku selepas pendudukan Israel berakhir.
Pemimpin kanan Hamas, Mousa Abu Marzouk, memberitahu Al Jazeera bahawa perbincangan mengenai masa depan Gaza mesti berpaksikan “kedudukan nasional Palestin” serta undang-undang antarabangsa.
“Isu masa depan Semenanjung Gaza dan hak asasi rakyat Palestin mesti ditentukan dalam kerangka nasional, bukan di bawah tekanan asing,” katanya.
Sumber Hamas turut mengesahkan kepada AFP bahawa Mesir akan menganjurkan dialog perpaduan Palestin dalam masa terdekat untuk membincangkan pentadbiran Gaza selepas perang, serta usaha penyatuan antara puak-puak utama Palestin.
REAKSI DUNIA : ANTARA HARAPAN DAN SKEPTISISME
Walaupun banyak pihak menyuarakan keraguan terhadap motif rancangan Trump, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen menyifatkan kesediaan Hamas untuk berbincang sebagai “tanda positif”.
“Kesediaan Hamas untuk membebaskan tebusan dan melibatkan diri dalam cadangan baharu amat menggalakkan. Gencatan senjata dan pembebasan semua tebusan kini berada dalam jangkauan,” tulisnya di X.
Namun, banyak pemerhati dan penganalisis menganggap “Pelan 20 Perkara” Trump sebagai kesinambungan dasar kolonial terhadap wilayah Palestin. Rancangan yang mengekalkan naratif keselamatan Israel sambil menyingkirkan suara rakyat Palestin.
Dokumen itu menetapkan bahawa “Gaza akan menjadi zon bebas keganasan” dan menegaskan semula hak Israel untuk menentukan sempadan keselamatan. Ia juga menjanjikan pemulihan ekonomi Gaza, tetapi bersyarat kepada penerimaan perjanjian oleh semua pihak. Satu syarat yang ramai menganggap sebagai “bantuan dengan tali di leher”.
ANTARA TEKANAN DIPLOMATIK DAN REALITI DI LAPANGAN
Walaupun tekanan diplomatik semakin meningkat, pengeboman berterusan di Gaza mencerminkan jurang besar antara wacana politik dan realiti kemanusiaan di lapangan.
Gencatan senjata masih jauh dari jangkauan, dan usaha damai yang diketuai oleh Amerika Syarikat kini dilihat goyah dilemahkan oleh ketidakpastian dasar serta ketegangan dalam hubungan peribadi antara Trump dan Netanyahu.
Bagi rakyat Gaza yang masih terperangkap di bawah runtuhan, arahan presiden Amerika hanyalah gema jauh di langit tidak cukup kuat untuk menghentikan serangan yang terus menelan nyawa.
SUMBER : MIDDLE EAST EYE
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
