
Selepas hampir dua tahun perang di Gaza, tentera Israel mendakwa telah meranapkan kekuatan utama Hamas: membunuh beribu-ribu pejuangnya, memusnahkan gudang senjata, dan menghancurkan rangkaian terowong bawah tanah yang selama ini menjadi “urat nadi” pertahanan kumpulan itu.
Namun, di medan tempur, Hamas tidak hilang. Ia berubah bentuk.
Daripada sebuah pasukan yang pernah beroperasi seperti tentera konvensional dengan struktur jelas dan kawalan wilayah, sayap ketenteraan Hamas kini bergeser ke dalam bentuk yang lebih longgar sel-sel kecil mudah alih yang bergerak di bawah tanah atau berselindung di kalangan awam. Strategi mereka sederhana: bertahan, menyebarkan kekuatan, dan menyerang apabila ada peluang.
Di lapangan, tidak ada lagi kubu kuat Hamas dalam pengertian tentera konvensional,Apa yang tinggal ialah sel-sel kecil yang bergerak bebas, berperang seperti gerila.
kata Wesam Afifa, bekas pengarah eksekutif TV Al Aqsa, saluran yang dikendalikan Hamas.
GAZA CITY : PERTARUHAN BESAR ISRAEL

Minggu ini, tentera Israel memulakan serangan darat berskala penuh ke Kota Gaza, yang kini menjadi fokus utama dalam operasi terbaru mereka. Para pegawai berharap tindakan itu akan menjadi tamparan terakhir ke atas Hamas.
Tetapi risiko operasi ini amat tinggi. Ratusan ribu rakyat Palestin masih terkepung di bandar yang hancur itu, terperangkap di antara bom, sekatan, dan kekurangan makanan serta air bersih.
Bagi Hamas, kehilangan kemampuan untuk mempertahankan wilayah dengan kekuatan besar tidak bererti mereka hilang pengaruh. Sebaliknya, mereka beralih kepada perang “langgar lari.” Serangan hendap, bom buatan sendiri, jalan yang dipasang bahan letupan, bahkan tembakan jarak dekat ke arah kereta kebal Israel oleh pejuang berpakaian awam. Semua ini direkodkan dan disebarkan dalam video propaganda, mengekalkan gambaran bahawa Hamas masih bernafas.
Sejak Januari, kira-kira 70 askar Israel terbunuh di Gaza, menurut angka rasmi tentera.
KEKUATAN YANG SEMAKIN BERKURANGAN TETAPI BELUM BERAKHIR
Pihak keselamatan Israel menegaskan Hamas tidak lagi mampu mengulangi serangan skala besar seperti 7 Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 1,200 orang di Israel dan mencetuskan perang ini.
William J. Burns, bekas ketua CIA, menyatakan minggu lalu bahawa kapasiti Hamas telah “dilemahkan secara ketara.” Kumpulan itu juga tidak lagi melancarkan hujan roket seperti pada hari-hari awal perang.
Namun, jumlah sebenar militan yang masih tinggal sukar ditentukan. Perkhidmatan keselamatan Israel menganggarkan sekitar 15,000 pejuang masih beroperasi di Gaza, angka yang cukup besar untuk mengekalkan perlawanan berpanjangan.
Hamas tidak boleh dikalahkan dalam masa yang singkat, Ia tidak berfungsi seperti itu.
Kata Michael Milshtein, bekas pegawai perisikan tentera Israel.
Menurut pegawai perisikan Timur Tengah, pasukan Hamas kini tersebar di Kota Gaza, Deir al-Balah, dan Mawasi kawasan pantai di selatan Gaza. Serangan Israel mungkin memaksa mereka bergerak lagi, tetapi penghapusan sepenuhnya, kata para pegawai, boleh mengambil masa bertahun-tahun.
RETORIK DAN REALITI POLITIK
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkali-kali menyatakan bahawa kemenangan mutlak menentang Hamas berada dalam jangkauan. Beliau menetapkan syarat: penyerahan penuh kumpulan itu atau kehancurannya melalui paksaan tentera.
Tetapi Hamas menolak tuntutan itu. Kumpulan itu menegaskan hanya akan bersetuju dengan perjanjian yang menjamin pengunduran tentera Israel, pembebasan tahanan Palestin, dan penamatan perang secara kekal. Sebagai pertukaran, mereka berjanji membebaskan baki tebusan Israel yang masih ditahan.
Pada hari Khamis, ketika tentera Israel mara, sayap ketenteraan Hamas mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menyiapkan “tentera pejuang berani mati dan beribu-ribu serangan hendap.”
Bagi sesetengah penganalisis Palestin, retorik ini sama pentingnya dengan tindakan. Mohammed al-Astal, seorang penganalisis di selatan Gaza, berkata Hamas sengaja menonjolkan imej kekuatan untuk menekan Israel ke meja rundingan. Israel pula, katanya, menggambarkan Hamas sebagai musuh besar untuk mewajarkan kemusnahan menyeluruh Gaza.
Apa yang berlaku di lapangan melangkaui sekadar menewaskan Hamas, Bagi banyak rakyat Palestin, ini kelihatan seperti usaha untuk menghapuskan Gaza itu sendiri.
katanya.
KUASA DI SEBALIK BAYANG-BAYANG
Walaupun dilemahkan, Hamas masih mengawal beberapa institusi awam di Gaza, mengendalikan pasukan keselamatan dalaman, memungut cukai tidak rasmi daripada perniagaan, dan membayar sebahagian kakitangan kerajaan.
Semua ini menunjukkan Hamas masih memiliki kuasa,
kata Shalom Ben Hanan, bekas pegawai kanan Shin Bet, agensi keselamatan Israel.
Esmat Mansour, seorang penganalisis politik Palestin yang pernah dipenjara bersama pemimpin Hamas, melihat fenomena ini sebagai tanda bahawa walaupun “saki-baki” Hamas yang tinggal, kumpulan itu tetap menjadi satu-satunya kekuatan perlawanan yang nyata di Gaza.
PERTEMPURAN YANG BELUM BERAKHIR
Israel mungkin berjaya melemahkan Hamas, tetapi sejarah di Gaza menunjukkan pola yang berulang : kumpulan yang ditekan, kehilangan infrastruktur, dan dipaksa bersurai, sering kali kembali dengan bentuk baharu.
Kebuntuan semasa menunjukkan bahawa walaupun Israel mampu menguasai bandar, terowong, dan laluan strategik, persoalan sebenar masih belum terjawab : bolehkah Hamas benar-benar dikalahkan, atau ia hanya akan menunggu untuk bangkit semula di bawah bayang-bayang kekacauan yang lebih luas?
Bagi penduduk Gaza, persoalan itu membawa implikasi yang lebih mendesak. Mereka kini terperangkap di antara dua naratif : Israel yang berikrar mahu menamatkan perang dengan kekerasan, dan Hamas yang menegaskan bahawa perjuangan mereka belum selesai walaupun dengan peluru terakhir.
SUMBER : THE NEW YORK TIMES
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
