
KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi tumpuan kontroversi antarabangsa selepas bekas pegawai Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, Jonathan Schanzer, mendakwa negara Asia Tenggara itu telah lama berfungsi sebagai pusat operasi anggota Hamas.
Dalam hantaran di platform X, Schanzer – yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Foundation for Defense of Democracies (FDD), sebuah badan pemikir berhaluan kanan di Washington turut menyasarkan kritikan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mendakwa Anwar “langsung tidak berminat dengan perdamaian” kerana terus mengekalkan hubungan dengan Hamas.
Kenyataan itu dibuat selepas Anwar secara terbuka menegaskan pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf Israel, sebaliknya menyeru masyarakat antarabangsa memutuskan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv di tengah-tengah kemusnahan berterusan di Gaza serta rampasan tanah di Tebing Barat.
REAKSI BALAS RAKYAT MALAYSIA
Hantaran Schanzer mencetuskan perdebatan hangat dalam talian, meraih hampir sejuta tontonan dalam tempoh singkat. Namun, majoriti respons datang daripada pengguna media sosial Malaysia yang mengecam tuduhan tersebut.
Seorang pengguna mempersoalkan kredibiliti kenyataan itu dengan menulis :
Nama sahaja penganalisis. Mana sumber engkau petik?
Yang lain membandingkan tuduhan terhadap Malaysia dengan rekod Amerika Syarikat sendiri dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan. “Keamanan? Apa Amerika buat di Iraq, itu kah yang kamu panggil keamanan?” tulis seorang lagi pengguna.
Tidak kurang yang memilih nada sinis. Kata seorang pengguna X, sementara yang lain menyindir
Koyak lah tu,Apa kamu cemburu, Jonathan, kerana negara kamu pun tidak aman dan tidak sebaik Malaysia.
SINDIRAN BALAS SCHANZER
Menerusi ciapan susulan, Schanzer menyifatkan gelombang balasan dari Malaysia sebagai “lucu dan keterlaluan”. “Hampir sejuta tontonan. Hampir sepenuhnya troll dari Malaysia,” katanya, menambah bahawa kecaman yang diterima menggambarkan tahap emosional yang tinggi.
LATAR HUBUNGAN MALAYSIA–HAMAS
Malaysia secara konsisten menegaskan pendiriannya menyokong perjuangan Palestin dan menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Israel. Hubungan rapat dengan kepimpinan Hamas bukanlah rahsia, termasuk lawatan delegasi Hamas ke Kuala Lumpur dalam beberapa tahun lalu.
Namun, dakwaan bahawa Malaysia menjadi “pusat operasi” Hamas masih belum disokong dengan bukti jelas. Pemerhati politik menilai kenyataan Schanzer lebih bersifat retorik politik, selari dengan garis panduan dasar luar pro-Israel yang sering dibawa oleh FDD.
Bagi kerajaan Malaysia, kenyataan seumpama itu dijangka hanya akan mengukuhkan lagi pendirian Anwar bahawa sokongan kepada Palestin adalah isu prinsip dan kedaulatan, bukan sekadar retorik diplomasi.
SUMBER : BERITA HARIAN
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
