
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan meminta pentadbiran Donald Trump menekan Mesir agar mengurangkan penempatan tenteranya di Semenanjung Sinai, langkah yang menurut Tel Aviv berpotensi melanggar Perjanjian Damai Camp David 1979.
Laporan eksklusif oleh Axios pada Sabtu menyatakan bahawa Netanyahu menyerahkan kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio satu senarai aktiviti ketenteraan Mesir di Sinai yang dikatakan bercanggah dengan perjanjian tersebut. Amerika Syarikat, sebagai penjamin utama perjanjian, dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan kuasa antara kedua-dua negara berjiran itu.
Perjanjian Camp David, yang dimeterai pada 1979 antara Presiden Mesir Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel Menachem Begin, membahagikan Sinai kepada zon tentera dengan had ketat terhadap jumlah pasukan dan persenjataan. Namun, menurut dua pegawai Israel, Kaherah kini memperluas infrastruktur ketenteraan di wilayah tersebut, termasuk membina landasan udara yang mampu digunakan jet pejuang serta kemudahan bawah tanah yang dipercayai boleh menyimpan peluru berpandu.
Beberapa pembinaan ini jelas bersifat ofensif, bukan hanya defensif, Mesir, katanya lagi, enggan memberikan penjelasan memuaskan meskipun Israel sudah mengemukakan bantahan melalui saluran diplomatik dan ketenteraan. Kata seorang pegawai Israel kepada Axios.
Seorang pegawai lain menegaskan bahawa langkah Mesir menambah kekuatan ketenteraan di Sinai dianggap “sangat serius” oleh Tel Aviv, dan Israel kini mendesak Washington turun tangan selepas rundingan dua hala dengan Kaherah menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, seorang pegawai Mesir menolak tuduhan tersebut, dengan menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang bantahan rasmi baharu daripada AS. Kaherah menegaskan bahawa langkah keselamatan di Sinai adalah sebahagian daripada usaha melindungi kedaulatan negara, khususnya ketika perang Israel di Gaza meningkatkan risiko penyusupan dan ancaman rentas sempadan.
Mesir turut menguatkan kawalan di sempadan Gaza, sambil memberi amaran kepada Israel agar tidak cuba memaksa rakyat Palestin berpindah ke Sinai — sesuatu yang digelar Kaherah sebagai “ancaman langsung terhadap keselamatan negara”.
Ketegangan ini berlaku dalam konteks serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, yang menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan telah meragut lebih 65,200 nyawa rakyat Palestin, sebahagian besar terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan pula menyebabkan sekurang-kurangnya 442 kematian tambahan akibat kelaparan dan kekurangan ubat-ubatan, termasuk hampir 150 kanak-kanak.
Walaupun hubungan Mesir dan Israel sejak beberapa dekad lalu ditandai dengan kerjasama keselamatan, episod terbaharu ini memperlihatkan jurang baharu dalam kepercayaan bersama. Penganalisis menyatakan, bagaimana Washington bertindak balas terhadap gesaan Netanyahu berpotensi menentukan sama ada perjanjian damai yang menjadi tonggak kestabilan Timur Tengah itu akan terus bertahan atau kembali teruji.
SUMBER : ANADOLU AJANSI
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
