
KATHMANDU— Gelombang protes yang meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dan memaksa perdana menteri meletakkan jawatan membuka jalan kepada pelantikan pemimpin wanita pertama Nepal pada Jumaat, dalam satu peralihan politik yang dramatik bagi negara Himalaya itu.
Sushila Karki, bekas ketua hakim yang pernah mengetuai Mahkamah Agung Nepal antara 2016 dan 2017, mengangkat sumpah sebagai ketua kerajaan sementara di hadapan Presiden Ram Chandra Paudel. Pelantikan itu dibuat selepas rundingan yang dipengerusikan presiden dan disokong oleh tentera, yang mengambil alih kawalan keselamatan ketika negara berdepan kekacauan politik.
Karki, 73 tahun, sebelum ini dikenali sebagai tokoh kehakiman yang lantang menentang rasuah dan tegas mempertahankan kebebasan awam. Rekod itulah yang menjadikan beliau calon pilihan penunjuk perasaan, kebanyakannya anak muda, yang sejak awal minggu turun ke jalan menuntut perubahan kepimpinan.
Kami telah mengambil satu lagi langkah ke arah Nepal yang dimuliakan.
tulis kumpulan aktivis belia Hami Nepal (We Nepal) dalam saluran komunikasi mereka di Discord, selepas pelantikan Karki diumumkan.
PROTES MENINGKAT SELEPAS LARANGAN MEDIA SOSIAL
Kebangkitan protes bermula selepas kerajaan mengenakan larangan ke atas platform media sosial minggu lalu. Walaupun sekatan itu ditarik balik pada Isnin, bantahan bertukar ganas selepas sekurang-kurangnya 19 penunjuk perasaan terbunuh dalam pertembungan dengan pasukan keselamatan pada hari yang sama.
Menurut Human Rights Watch, saksi di lokasi mendakwa polis melepaskan tembakan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan. Kekacauan merebak apabila orang ramai membakar bangunan Parlimen, sekretariat kerajaan dan kediaman bekas Perdana Menteri Khadga Prasad Sharma Oli, yang meletak jawatan sejurus selepas insiden tersebut.
Dalam tempoh seminggu, sekurang-kurangnya 40 orang maut dan kira-kira 2,000 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Nepal. Tentera kemudian dikerahkan meronda jalan-jalan utama, dengan jurucakap ketenteraan menegaskan pasukan itu “menghormati nilai demokrasi” tetapi perlu bertindak untuk mengekalkan ketenteraman awam.
PARLIMEN DIBUBAR, PILIHAN RAYA DISERU
Bertindak atas saranan Karki, Presiden Paudel membubarkan Parlimen dan menetapkan pilihan raya kebangsaan pada Mac tahun depan. Langkah itu dijangka menjadi ujian besar kepada kestabilan politik Nepal, yang berulang kali digoncang oleh pergolakan sejak peralihan daripada monarki kepada republik pada 2008.
Kerajaan sementara Karki meletakkan penyiasatan terhadap kematian penunjuk perasaan sebagai agenda utama. Penunjuk perasaan dan kumpulan masyarakat sivil mendesak agar pihak keselamatan yang terlibat dalam penggunaan kekerasan melampau dibawa ke muka pengadilan.
KETIDAKPUASAN HATI TERHADAP ELIT POLITIK
Di sebalik tuntutan segera mengenai kebebasan berinternet, protes ini mencerminkan ketidakpuasan hati yang lebih mendalam. Ramai rakyat Nepal melihat elit politik sebagai tidak bertanggungjawab, gagal memperbaiki taraf hidup rakyat, dan menikmati kemewahan yang tidak setara dengan gaji rasmi mereka.
Dengan hampir 30 juta penduduk, Nepal masih berdepan cabaran pembangunan, peluang pekerjaan terhad dan tahap rasuah yang tinggi. Kenaikan Karki ke tampuk kepimpinan dilihat sebagai ujian sama ada tokoh luar politik tradisional boleh mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
