
SANA, Yaman — Tentera Israel melancarkan siri serangan udara pada Rabu ke atas beberapa lokasi di Yaman yang dikuasai Houthi, kumpulan bersenjata disokong Iran yang sejak dua tahun lalu kerap melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi, sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan 131 lagi cedera dalam serangan itu. Angka berkenaan tidak dapat disahkan secara bebas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata operasi berkenaan adalah tindak balas terhadap serangan dron Houthi yang minggu ini memaksa penutupan sebuah lapangan terbang di selatan Israel selama beberapa jam.
“Kami menyerang kemudahan keganasan mereka hari ini. Pangkalan, pusat operasi dan gudang. Sesiapa yang menyerang kami, kami akan membalas dengan apa jua cara.” kata Netanyahu dalam satu kenyataan video.
LATAR KETEGANGAN SERANTAU
Kumpulan Houthi, yang menguasai utara Yaman termasuk ibu negara Sana sejak perang saudara bermula lebih sedekad lalu, telah meningkatkan serangan ke atas Israel dan kapal di Laut Merah sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023. Serangan itu, kata mereka, dilakukan sebagai solidariti terhadap Hamas, sekutu mereka yang turut menerima sokongan daripada Iran.
Israel pula mengekalkan kempen balasan terhadap Houthi, dengan serangan berkala ke atas pelabuhan, stesen janakuasa dan kemudahan tentera di wilayah Yaman. Namun, serangan itu setakat ini gagal menghentikan keupayaan Houthi melancarkan peluru berpandu dan dron.
Bulan lalu, Israel melaksanakan serangan yang membunuh Perdana Menteri Houthi, Ahmed al-Rahawi, bersama beberapa pegawai lain, satu peningkatan drastik dalam usaha menyekat serangan rentas sempadan walaupun tokoh itu hanya memegang kuasa simbolik.
SERANGAN TERBARU
Menurut tentera Israel, jet pejuangnya menyasarkan ibu kota Sana serta beberapa kawasan di utara wilayah Al-Jawf, termasuk kem tentera, pejabat propaganda Houthi, dan depot bahan api.
Penduduk tempatan menggambarkan suasana panik. Muhyiddin al-Ansi, 42 tahun, berkata rumahnya bergegar kuat selepas bangunan kerajaan Houthi berhampiran rumahnya dihentam.
“Semua tingkap musnah. Tanah bergetar di bawah kami,” katanya.
Presiden Majlis Politik Tertinggi Houthi, Mahdi al-Mashat, berikrar untuk membalas serangan itu.
“Pencerobohan Zionis yang kejam terhadap negara kita adalah satu kegagalan,”
katanya melalui stesen televisyen al-Masirah yang dikendalikan kumpulan itu.
REAKSI ANTARABANGSA
Serangan Israel ke atas Yaman berlaku hanya sehari selepas operasi dramatik ke atas pegawai Hamas di Doha, Qatar, sebuah negara yang selama ini menjadi pengantara utama antara Israel dan Hamas. Tindakan itu mengundang kritikan meluas daripada negara Arab dan sekutu Barat.
Pengamat politik melihat langkah agresif Israel ini sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas kerajaan Netanyahu untuk menundukkan semua musuh serantau yang disokong Iran daripada Hamas di Gaza, Hizbullah di Lubnan, di Syria, hingga operasi Houthi di Yaman.
RISIKO TERHADAP PERDAGANGAN GLOBAL
Houthi berulang kali menegaskan bahawa serangan mereka juga bertujuan mengganggu laluan kapal yang berkait dengan Israel di Laut Merah, laluan perdagangan penting dunia. Mereka pernah menembak dan menenggelamkan kapal, memaksa syarikat perkapalan antarabangsa mengambil laluan lebih panjang mengelilingi Afrika dan menjauhi Terusan Suez.
Walaupun Israel dan sekutunya meningkatkan serangan balas, Houthi terus menunjukkan kemampuan beroperasi di luar jangkauan geografi biasa mereka, menambah satu lagi cabaran kepada kestabilan rantau yang sudah pun bergolak.
