
Washington—Presiden Donald Trump meluahkan rasa tidak puas hati kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu selepas serangan udara Israel ke atas ibu negara Qatar yang menyasarkan pemimpin Hamas, menurut pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat.
Dalam perbualan telefon pada Selasa, Trump menegaskan tindakan Israel itu sebagai “tidak bijak” dan mengecam Netanyahu kerana bertindak tanpa sebarang koordinasi terlebih dahulu dengan Washington. Bagi Trump, serangan tersebut bukan sahaja membahayakan usaha rundingan gencatan senjata yang dikendalikan Qatar, tetapi juga mencalar hubungan rapat AS dengan sekutunya di Teluk.
“Dia marah kerana perkara ini menjejaskan agenda damainya sendiri. Trump menyokong Israel, tetapi beliau tidak mahu Netanyahu mengheretnya ke dalam situasi yang bercanggah dengan matlamat strategik Amerika.”
kata seorang pegawai kanan AS.
KERETAKAN DI SEBALIK KEAKRABAN
Netanyahu mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa beliau mempunyai “tingkap masa yang singkat” untuk melancarkan serangan. Namun, hasilnya tidak jelas. Walaupun enam anggota Hamas terbunuh, kepimpinan kanan kumpulan itu dilaporkan terselamat.
Beberapa jam kemudian, Hamas mengumumkan mereka menarik diri daripada rundingan gencatan senjata. Satu tamparan hebat terhadap usaha diplomatik AS. Di Doha, pemimpin Qatar menyatakan rasa marah, tetapi menegaskan peranan mereka sebagai pengantara tetap diteruskan.
Trump sebelum ini berusaha memposisikan dirinya sebagai arkitek perdamaian Timur Tengah, dengan sasaran gencatan senjata di Gaza, pembebasan tebusan, dan juga aspirasi anugerah Nobel Keamanan. Beliau menaruh harapan besar kepada monarki Teluk, khususnya Qatar, yang bukan sahaja menjadi tuan rumah pangkalan tentera AS terbesar di rantau itu, tetapi juga menawarkan pelaburan besar termasuk pesawat mewah bernilai $400 juta sebagai hadiah diplomatik kepada Washington.
“Ini jelas menjejaskan agenda perdamaian Trump. Tetapi beliau juga sebahagiannya bertanggungjawab kerana pendekatannya yang tidak menentu telah membuka ruang untuk pemain lain bergerak sendiri.”
kata Mona Yacoubian, pengarah program Timur Tengah di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.
KETEGANGAN TIGA SEGI : AMERIKA SYARIKAT, ISRAEL, QATAR

Walaupun Trump sering menegaskan sokongannya terhadap kempen Netanyahu untuk “menghapuskan Hamas,” beliau semakin gusar dengan corak tindakan unilateral Israel. Beberapa kali Netanyahu melancarkan operasi ketenteraan—termasuk serangan besar ke atas tapak nuklear Iran pada Jun lalu—tanpa memberi amaran secukupnya kepada Washington.
Trump, bagaimanapun, tidak kebal daripada membuat kejutan sendiri. Pada Mei, beliau mencapai perjanjian rahsia dengan Hamas untuk membebaskan tebusan warga Amerika terakhir di Gaza, langkah yang mengejutkan kerajaan Israel. Bulan berikutnya, beliau secara sepihak menamatkan kempen udara AS ke atas Houthi di Yaman, mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat.
“Hubungan mereka ibarat tarik-tali, Netanyahu tahu bila perlu menekan, dan bila perlu berundur sebelum hubungan itu benar-benar retak.”
kata seorang pegawai pentadbiran.
POLITIK SIMBOLIK
Di sebalik ketegangan diplomatik, Netanyahu tetap mengekalkan nada mesra di khalayak. Pada Rabu, beliau menghadiri majlis bersama Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee, untuk meletakkan batu asas laluan tepi pantai di Bat Yam yang dinamakan sempena Trump.
“Presiden Trump adalah sahabat terbaik Israel yang pernah menduduki Rumah Putih.”
kata Netanyahu dalam ucapannya. Satu peringatan bahawa hubungan politik dan simbolik antara kedua-dua pemimpin itu masih erat walaupun retak di belakang tabir semakin ketara.
