
MADRID — Kerajaan Sepanyol melaksanakan pakej sembilan sekatan terhadap Israel pada Selasa, termasuk larangan masuk terhadap dua menteri kanan Israel, sebagai tindak balas kepada apa yang digambarkan Madrid sebagai “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza.
Langkah ini diumumkan sehari selepas Perdana Menteri Pedro Sánchez mendedahkan rancangan sekatan tersebut. Mesyuarat Majlis Menteri kemudian mengesahkan pakej yang diberi nama “Langkah-Langkah Menentang Pembunuhan Beramai-Ramai di Gaza dan Sokongan untuk Rakyat Palestin”.

Menteri Luar Sepanyol, José Manuel Albares, menegaskan bahawa negaranya tidak boleh berdiam diri terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlangsung di Gaza.
“Kami tidak boleh berdiam diri dan tidak bertindak balas ketika begitu ramai orang awam yang tidak bersalah terbunuh,”
katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet.
Albares turut menekankan bahawa pendirian Sepanyol berpaksikan kepada penyelesaian dua negara yang “realistik dan boleh dilaksanakan,” di mana Israel dan Palestin wujud bersama dengan hak yang diiktiraf sepenuhnya.
SEMBILAN SEKATAN UTAMA
Pakej sekatan yang diumumkan termasuk beberapa langkah yang dilihat bakal memberi kesan langsung kepada hubungan Madrid-Tel Aviv, antaranya :
1) Pengukuhan larangan undang-undang ke atas perdagangan senjata dan peralatan ketenteraan dengan Israel.
2) Larangan penggunaan pelabuhan Sepanyol oleh kapal yang membawa bahan bakar untuk tentera Israel.
3) Penutupan ruang udara Sepanyol kepada pesawat rasmi yang membawa peralatan pertahanan ke Israel.
4) Larangan masuk ke Sepanyol terhadap individu yang terlibat dalam jenayah perang, pencabulan hak asasi manusia, atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
5) Pengharaman import produk dari penempatan haram di Gaza dan Tebing Barat.
6) Had perkhidmatan konsular kepada warga Sepanyol yang tinggal di penempatan Israel.
7) Pengukuhan sokongan ke Palestin melalui penambahan anggota tentera Sepanyol di misi Kesatuan Eropah di Rafah.
8) Penubuhan projek kerjasama baharu dengan Palestin dalam bidang pertanian, keselamatan makanan, dan bantuan perubatan.
9) Tambahan dana €10 juta kepada UNRWA bagi membantu penduduk Gaza.
PERTUKARAN LARANGAN DIPLOMATIK
Tindakan Sepanyol turut mencetuskan respons keras dari Israel. Sebelum ini, kerajaan Israel mengumumkan larangan masuk terhadap dua anggota kabinet Sepanyol — Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Buruh dan Ekonomi Sosial, Yolanda Díaz, serta Menteri Kanak-Kanak dan Belia, Sira Rego.
Sebagai tindak balas, Madrid menyenaraikan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, dalam senarai individu yang dilarang memasuki wilayah Sepanyol. Kedua-dua tokoh itu kini turut dimasukkan ke dalam Sistem Maklumat Schengen, bersama 13 peneroka Yahudi yang sebelum ini sudah dikenakan sekatan.
“Senarai ini terbuka dan akan terus berkembang selaras dengan perkembangan semasa,” kata Albares.
KETEGANGAN DIPLOMATIK MENINGKAT
Konfrontasi diplomatik antara kedua-dua negara semakin tegang, dengan Israel menuduh kerajaan Sánchez bersikap “antisemitik” dan “rasuah” susulan pengumuman sekatan tersebut.
Sepanyol, yang jarang memutuskan hubungan diplomatik dalam sejarahnya — kali terakhir dengan Guatemala pada 1980 — menegaskan bahawa langkah ini bukanlah pemutusan hubungan, sebaliknya tekanan politik untuk menuntut penyelesaian damai.
Albares turut merujuk kepada Artikel 2 Perjanjian Persatuan EU-Israel yang menurutnya jelas dilanggar oleh Israel. Beliau memberi isyarat bahawa isu ini boleh dibawa ke Perhimpunan Agung PBB pada 21 September sebagai langkah seterusnya.
“Sepanyol melakukan apa yang mampu pada tahap nasional,”
katanya, sambil menambah bahawa sokongan kolektif Kesatuan Eropah terhadap langkah serupa akan memberikan kesan yang lebih besar.
