
DOHA — Qatar, tuan rumah pangkalan tentera Amerika terbesar di Timur Tengah dan pembeli sistem pertahanan bernilai berbilion dolar dari Washington, digegarkan pada Selasa apabila Israel melancarkan serangan udara yang berani ke atas ibu kotanya. Serangan itu menyasarkan pegawai kanan Hamas yang sedang membincangkan cadangan gencatan senjata yang disokong oleh Amerika Syarikat perjanjian yang dilihat sebagai peluang untuk menamatkan perang Gaza.
Serangan tersebut menimbulkan persoalan mendalam tentang nilai sebenar jaminan keselamatan Amerika kepada negara-negara Teluk.
“Qatar tidak mampu melindungi rakyatnya sendiri meskipun Perintah Pusat AS beroperasi secara literal di wilayahnya,”
kata Kristin Diwan, sarjana kanan di Institut Negara Teluk Arab di Washington.
“Ini masalah sebenar bagi pemimpin Teluk dan ia sepatutnya membimbangkan Amerika Syarikat juga.”
SERANGAN BERPROFIL TINGGI

Serangan Israel mengenai sebuah kawasan kediaman di Doha, menyebabkan asap pekat menjulang ke langit. Seorang anggota keselamatan dalaman Qatar, Bader Saad al-Humaidi al-Dosari, terbunuh menjadikannya warga Teluk Arab pertama yang dibunuh oleh Israel dalam beberapa dekad.
Kumpulan Hamas mengesahkan bahawa anak lelaki Khalil al-Hayya, ketua perunding mereka, turut terkorban bersama empat anggota lain. Qatar selama ini menempatkan kepimpinan politik Hamas dengan restu Washington, menjadikan Doha pengantara penting dalam rundingan untuk menghentikan pertempuran di Gaza.
Namun kini, dengan darah warga Qatar tumpah, keyakinan terhadap Washington sebagai penjamin keselamatan utama rantau ini semakin goyah.
ANCAMAN TERHADAP REPUTASI TELUK
Bagi negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Kuwait, Bahrain dan Qatar. Reputasi mereka sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan pelancongan yang stabil merupakan nadi agenda domestik. Dengan gabungan aset dana kekayaan negara bernilai lebih $4 trilion dan pengaruh besar dalam pasaran tenaga global, kestabilan politik dan keselamatan mereka adalah kunci kepada ekonomi dunia.
“Netanyahu sendiri mengisytiharkan bahawa dia mahu membentuk semula Timur Tengah, Adakah ini mesej bahawa dia juga mahu membentuk semula Teluk?”
kata Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, perdana menteri Qatar.
DIPLOMASI MENGGANTIKAN KETENTERAAN
Pilihan ketenteraan balas dendam hampir mustahil bagi negara-negara Teluk, kerana peningkatan konflik akan mengancam pembangunan domestik mereka. Namun, menurut Bader Al-Saif, penolong profesor sejarah di Universiti Kuwait, mereka masih memiliki senjata lain: diplomasi dan leverage ekonomi.
Jika dana berdaulat Teluk yang melabur besar di pasaran Barat memilih untuk melancarkan pencairan aset atau menyasarkan syarikat yang rapat dengan Israel dan sekutunya, kesannya boleh menjadi ketara.
AMERIKA SYARIKAT DIPERSOALKAN
Ironinya, serangan itu berlaku hanya beberapa bulan selepas Donald J. Trump melawat Teluk, memuji pemimpin serantau sebagai sekutu rapat dan menandatangani pelbagai perjanjian perniagaan. Namun pada Selasa, Sheikh Mohammed mendedahkan bahawa Washington hanya menghubungi Doha untuk memberi amaran mengenai serangan Israel sepuluh minit selepas ia berlaku.
“Ini ujian litmus, Jika pemerintah Teluk tidak bertindak tegas sekarang, mereka berisiko menjadi sebahagian daripada orbit kuasa Israel dan perintah serantau yang diketuai Israel.”kata Al-Saif.
Serangan Israel ke atas Qatar bukan sekadar serangan ketenteraan. Ia adalah cabaran langsung terhadap status quo yang telah lama dikuasai oleh Amerika Syarikat dan pengingat pahit bahawa payung keselamatan Washington mungkin tidak lagi kedap seperti yang dipercayai oleh negara-negara Teluk.
