
DOHA — Hamas pada Selasa mengesahkan bahawa lima anggotanya terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan ibu negara Qatar, Doha. Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan bahawa delegasi perundingan utamanya terselamat daripada serangan tersebut, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa perang Gaza kini melimpah ke wilayah Teluk.
Dalam kenyataan rasmi, Hamas mengutuk tindakan Israel sebagai “jenayah kejam dan pencerobohan terang-terangan,” dengan mendakwa serangan itu bertujuan menghapuskan pasukan perundingannya.
“Kami mengesahkan bahawa musuh telah gagal untuk membunuh saudara-saudara kami dalam delegasi rundingan,” kata kumpulan itu.
ANGGOTA YANG TERBUNUH DAN TUNTUTAN HAMAS
Mereka yang terbunuh termasuk :
1) Hammam al-Hayya, anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya.
2) Jihad Lubad sebagai pengarah pejabat serta 3 pembantu rapat
3) Abdullah Abdel Wahid,
4) Moamen Hassouna,
5) Ahmed al-Mamlouk.
Hamas turut meratapi kematian seorang anggota keselamatan Qatar yang terkorban dalam serangan itu.
Kumpulan itu menuduh Israel, dengan sokongan penuh Washington, sengaja menggagalkan usaha antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata. “Serangan ini membuktikan Netanyahu tidak berniat untuk mencapai sebarang persetujuan dan berusaha meruntuhkan semua peluang perdamaian,” tambah kenyataan tersebut.
Hamas menegaskan serangan berlaku ketika perundingnya sedang membincangkan cadangan terbaru yang dikemukakan Presiden Donald Trump.
REAKSI QATAR DAN KOMUNITI ANTARABANGSA
Kementerian Luar Negeri Qatar mengecam keras tindakan Israel, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa” dan serangan langsung terhadap kedaulatan negara itu. Doha, bersama Mesir dan Amerika Syarikat, telah memainkan peranan penting sebagai pengantara rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas mengenai pertukaran tahanan serta gencatan senjata.
Tentera Israel hanya mengesahkan ia melancarkan “serangan tepat” terhadap kepimpinan kanan Hamas, tanpa menyebut lokasi khusus.
PERANG GAZA DAN TEKANAN UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA
Sejak Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 64,600 nyawa rakyat Palestin dan menghancurkan sebahagian besar kawasan itu, menurut pegawai tempatan. PBB memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berdepan kebuluran terburuk dalam beberapa dekad.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai.
TIDAK AKAN MENGGOYAHKAN PERJUANGAN
Walaupun kehilangan anggota kanan, Hamas menegaskan serangan itu tidak akan melemahkan kedudukannya.
“Percubaan pembunuhan yang pengecut ini tidak akan mengubah tuntutan kami untuk menghentikan segera pencerobohan, pengunduran tentera pendudukan dari Gaza, serta pembinaan semula wilayah kami,” kata kumpulan itu.
Hamas juga menegaskan bahawa matlamat akhirnya tetap sama — mendirikan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota.
