
TEL AVIV – Israel kini berdepan krisis tenaga kerja ketenteraan yang semakin meruncing ketika persiapan giat dijalankan untuk melancarkan operasi besar-besaran bagi menawan dan menduduki Kota Gaza.
Puluhan ribu anggota simpanan yang dipanggil kembali bertugas pada 2 September lalu diwajibkan berkhidmat tambahan selama tiga bulan – dengan kemungkinan dilanjutkan ke bulan keempat bergantung kepada perkembangan operasi. Namun, laporan media Israel mendedahkan kebimbangan serius terhadap semangat juang tentera dan jumlah sebenar anggota yang sanggup melaporkan diri.
KETIDAKPUASAN HATI TENTERA SIMPANAN
Ratusan askar simpanan telah secara terbuka menyatakan tentangan terhadap operasi ini, malah ada yang mengancam untuk tidak hadir bertugas.
“Putaran kali ini adalah yang paling sukar. Ramai antara kami berkonflik dengan isu tebusan Hamas. Saya tidak percaya pencerobohan Gaza ada kaitan dengan membawa pulang mereka.” Ujar seorang askar simpanan kepada akhbar Haaretz.
Kenyataan sama turut menegaskan bahawa ramai tentera tidak lagi mempercayai objektif kerajaan. Seorang lagi anggota simpanan berkata,
“Selepas 280 hari berperang, saya tahu Gaza. Penaklukan Gaza bukan tentang tebusan, dan semua orang sedar perkara itu.”
KRISIS KEPERCAYAAN DAN MORAL
Menurut Haaretz, wujud “krisis kepercayaan” antara kerajaan Israel dengan institusi ketenteraannya. Komander simpanan malah diarahkan untuk berbincang dengan anggota bawahan bagi memberi ruang meluahkan keraguan terhadap operasi yang dirancang.
Panglima tentera, Eyal Zamir, dilaporkan pernah mencadangkan agar kerajaan mengelakkan panggilan besar-besaran bagi mengekang krisis tenaga, namun cadangan itu ditolak. Zamir turut memberi amaran kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa operasi pendudukan Gaza akan menambah tekanan besar kepada angkatan tentera serta membahayakan nyawa tebusan yang ditahan di Gaza.
PENENTANGAN TERBUKA
Kira-kira 350 askar simpanan menandatangani kenyataan bersama yang menolak operasi pendudukan. Ron Feiner, seorang anggota simpanan, menegaskan :
“Keputusan menduduki Gaza adalah menyalahi undang-undang dan meletakkan tebusan, tentera, dan orang awam dalam bahaya. Jika kami dipanggil, kami tidak akan hadir. Kami tidak akan mematuhi arahan itu.”
TENTERA TERPAKSA MENCARI ASKAR MELALUI WHATSAPP
The Wall Street Journal pada 1 September mendedahkan bahawa pihak komander kini “bergantung pada kaedah luar biasa” termasuk menggunakan kumpulan WhatsApp untuk merekrut pelajar universiti sebagai anggota simpanan.
Salah satu mesej yang disiarkan berbunyi :
“Saya sedang mencari askar tempur, khususnya medik dan penembak tepat untuk operasi selama 70 hari bermula 11 September. Jika berminat, sila hubungi saya.”
Sementara itu, laporan The New York Times mengesahkan tahap keletihan dan kekecewaan pasukan Israel kini “mengancam rancangan Tel Aviv” bagi operasi menduduki Gaza. Malah, terdapat unit yang dilaporkan “hampir kehabisan anggota” apabila 40 hingga 50 peratus tidak hadir bertugas.
GAZA DI AMBANG PENCEROBOHAN
Israel kini berada di pinggir Kota Gaza selepas berbulan-bulan mengebom infrastruktur, yang mengakibatkan kemusnahan besar serta krisis kemanusiaan. Dalam beberapa minggu terakhir, puluhan warga Gaza – termasuk kanak-kanak – meninggal dunia akibat kelaparan.
Israel mendakwa operasi ini bertujuan memusnahkan keupayaan Hamas, menjamin pembebasan tebusan, menegakkan kawalan keselamatan ke atas Gaza, serta “menghapuskan ancaman” di wilayah itu. Namun, hakikat di medan perang mendedahkan bahawa tentera Israel sendiri kini berdepan dilema moral, keletihan berpanjangan, serta krisis kepercayaan terhadap kepimpinan politik negara itu.
SUMBER : THE CRADLE
