
BRUSSELS – Belgium mengumumkan pendirian bersejarah untuk mengiktiraf negara Palestin pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bakal berlangsung di New York bulan ini. Langkah ini menjadikan Belgium negara Eropah seterusnya selepas Perancis yang menyatakan kesediaan memberikan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin.
Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, berkata keputusan itu dibuat atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab antarabangsa untuk menegakkan undang-undang antarabangsa.
Palestin akan diiktiraf oleh Belgium semasa sesi PBB. Dalam masa yang sama, sekatan tegas sedang dikenakan ke atas kerajaan Israel. Sebarang antisemitisme atau pengagungan keganasan oleh penyokong Hamas juga akan dikutuk dengan lebih keras,” kata Prevot dalam satu kenyataan di platform X
TEKANAN DIPLOMATIK TERHADAP ISRAEL
Prevot menegaskan, langkah ini bukan bertujuan menghukum rakyat Israel, sebaliknya untuk menekan kerajaan mereka agar menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Sebagai sebahagian daripada pendirian tegas tersebut, Belgium telah merangka 12 bentuk sekatan utama ke atas Israel, antaranya :
• Larangan import barangan dari penempatan haram Israel.• Semakan dasar perolehan awam dengan syarikat Israel.
• Penyekatan bantuan konsular kepada warga Belgium yang tinggal di penempatan tidak sah.
• Prosiding kehakiman berpotensi terhadap entiti yang terlibat.
• Larangan transit dan penerbangan Israel melalui ruang udara Belgium.
Pengisytiharan dua menteri sayap kanan Israel – Bezalel Smotrich dan Itamar Ben Gvir – sebagai persona non grata.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai “isyarat diplomatik dan politik yang kuat” untuk mengekalkan peluang penyelesaian dua negara, di samping mengecam pengembangan penempatan haram Israel.
SOKONGAN ANTARABANGSA DAN RESPONS PALESTIN
Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyambut baik pengumuman Belgium ini, menyifatkannya sebagai satu langkah positif ke arah mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk berdaulat.
Selain Belgium dan Perancis, beberapa negara lain termasuk Australia dan Malta turut memberi isyarat kesediaan untuk mengiktiraf Palestin pada sesi PBB kali ini.
TINDAK BALAS ISRAEL
Sebagai reaksi terhadap perkembangan tersebut, Israel mempercepatkan projek penempatan di Tebing Barat. Pada Ogos lalu, Menteri Kewangan Bezalel Smotrich mengumumkan penyambungan projek penempatan E1 yang sebelum ini dibekukan kerana bantahan masyarakat antarabangsa. Projek ini dilihat strategik kerana ia akan menghubungkan Baitulmaqdis Timur dengan penempatan haram Maale Adumim – kawasan yang dianggap penting bagi negara Palestin masa depan
Hari ini, sesiapa sahaja di dunia yang cuba mengiktiraf negara Palestin akan menerima jawapan daripada kami di lapangan. Kami sedang menulis bab bersejarah dalam kisah penebusan rakyat Israel di tanah mereka,” kata Smotrich ketika itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar pada 2 September untuk membincangkan langkah memperluas kedaulatan Israel ke atas Tebing Barat.
Pada Julai lalu, Knesset Israel meluluskan usul dengan majoriti besar (71-13) yang menyokong pengilhakan Tebing Barat secara rasmi.
IMPLIKASI GLOBAL
Langkah Belgium dan Perancis menambah tekanan diplomatik ke atas Israel yang kini semakin berdepan kritikan antarabangsa berhubung tindakan kerasnya di Gaza serta pengembangan penempatan haram di Tebing Barat.
Pemerhati politik antarabangsa melihat perkembangan ini sebagai titik tolak penting dalam usaha menghidupkan semula solusi dua negara – satu gagasan yang semakin terpinggir akibat tindakan Israel yang semakin agresif.
