
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata bahawa Pasukan Keselamatan Antarabangsa (ISF) yang diketuai Washington dijangka dikerahkan ke Semenanjung Gaza “tidak lama lagi”, selepas lebih dua tahun konflik Israel di wilayah yang dikepung itu. Kenyataan itu dibuat dalam majlis di Rumah Putih pada Khamis bersama pemimpin dari negara-negara Asia Tengah.
“Ia akan berlaku tidak lama lagi. Dan Gaza berjalan dengan baik,” kata Trump
merujuk kepada kerangka pasca konflik yang sedang digubal Washington. Satu rancangan yang bertujuan untuk menstabilkan wilayah tersebut selepas gencatan senjata antara Israel dan kumpulan penentang Hamas.
Pengumuman itu hadir ketika Amerika Syarikat mengedarkan draf resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk memberikan mandat rasmi bagi mewujudkan ISF. Menurut misi diplomatik AS, draf tersebut telah dibentangkan kepada ahli Majlis Keselamatan yang bukan anggota tetap serta kepada beberapa negara serantau termasuk Türkiye, Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi. Tarikh undian resolusi itu bagaimanapun belum ditetapkan.
Dalam kenyataan rasmi, Washington menegaskan bahawa resolusi tersebut “akan mengizinkan pembentukan Pasukan Penstabilan Antarabangsa” satu komponen utama dalam pelan keamanan 20 perkara yang dirangka pentadbiran Trump.
Sumber diplomatik menyatakan bahawa beberapa negara telah menunjukkan kesediaan untuk menyertai pasukan itu, namun menggesa mandat formal daripada Majlis Keselamatan sebelum sebarang pengerahan tentera dilakukan. Pasukan tersebut dijangka terdiri terutamanya daripada negara-negara Arab dan Islam, dan bertugas memastikan keselamatan tempatan selepas pengunduran tentera Israel.
“Kepimpinan berani Presiden Trump akan memastikan Amerika kembali membawa keputusan, bukan hanya perbincangan yang berpanjangan,” kata jurucakap AS dalam satu kenyataan.
Peranan pasukan antarabangsa itu telah digariskan dalam perjanjian gencatan senjata 10 Oktober antara Israel dan Hamas, yang bertujuan membuka ruang kepada usaha pembinaan semula Gaza serta penyusunan semula keselamatan wilayah.
Namun, di lapangan, keadaan terus tegang. Pada hari yang sama kenyataan itu diumumkan, tentera Israel membunuh seorang remaja Palestin berusia 15 tahun dalam serbuan di bandar al-Yamun, barat Jenin di Tebing Barat, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Walaupun usaha diplomatik semakin giat, realiti di Gaza dan Tebing Barat menunjukkan bahawa keamanan masih jauh daripada dicapai. Pelaksanaan ISF dijangka menjadi ujian besar keupayaan antarabangsa membina asas politik yang stabil, di tengah-tengah kecurigaan rakyat Palestin terhadap campur tangan luar dan tekanan dalaman Israel yang terus berpecah mengenai masa depan wilayah itu.
Persoalan utama kini ialah bukan sekadar bila pasukan itu akan tiba tetapi sama ada ia benar-benar mampu mengubah trajektori konflik yang telah berlanjutan selama puluhan tahun.
SUMBER : TRT WORLD
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
