
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menegaskan bahawa Tehran kekal komited untuk mencari keamanan global, namun tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa untuk menghentikan program nuklear dan keupayaan peluru berpandunya. Kenyataan itu disiarkan oleh media kerajaan pada Jumaat, di tengah-tengah spekulasi mengenai kemungkinan rundingan baharu antara Tehran dan Washington.
Komen Pezeshkian hadir sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa bahawa Iran telah bertanya mengenai kemungkinan penarikan semula sekatan ekonomi Washington. Sekatan ketat itu, yang dikenakan semula oleh AS selepas penarikan diri unilateral daripada Perjanjian Nuklear 2015 (JCPOA), telah memberi kesan ketara terhadap ekonomi Iran, khususnya sektor tenaga dan kewangan.
“Kami bersedia untuk berunding dalam rangka undang-undang antarabangsa tetapi bukan di bawah syarat yang memaksa kami meninggalkan hak kami terhadap ilmu nuklear atau sistem pertahanan. Keamanan tidak boleh dicapai melalui penghinaan atau paksaan.” kata Pezeshkian.
Tehran berulang kali menolak cadangan agar ia mengehadkan program peluru berpandunya, sambil menyifatkan sistem tersebut sebagai “lindungan strategik” terhadap ancaman daripada Amerika Syarikat, Israel dan sekutu serantau mereka. Peluru berpandu balistik Iran yang memiliki jarak sehingga 2,000 kilometer merupakan teras utama doktrin pencegahan Tehran.
Pezeshkian turut mengkritik apa yang beliau gambarkan sebagai pendirian hipokrit Barat.
“Mereka membekalkan senjata kepada Israel tanpa had, namun dalam masa yang sama menuntut kami untuk melepaskan hak pertahanan kami. Mereka boleh mengebom tapak ketenteraan kami bila-bila masa, namun kami diminta berdiam diri. Itu tidak boleh diterima.” katanya.
Sebelum konflik 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun lalu, Tehran dan Washington telah mengadakan lima pusingan rundingan tidak rasmi mengenai isu nuklear. Namun, pertempuran udara yang melibatkan AS dan Israel ke atas beberapa tapak peluru berpandu Iran menghentikan proses diplomatik tersebut dan menambah ketegangan serantau.
Israel menegaskan bahawa program peluru berpandu Iran dan keupayaan pengayaan uraniumnya merupakan ancaman wujud. Iran pula menafikan ia sedang membangunkan senjata nuklear, sebaliknya mendakwa program itu adalah untuk tujuan tenaga dan penyelidikan.
Di tengah-tengah tekanan ekonomi dalaman, sentimen nasionalis, serta kebimbangan keselamatan serantau, kenyataan Pezeshkian menandakan bahawa Tehran mungkin terbuka kepada diplomasi tetapi hanya jika ia dihormati sebagai pihak yang setara, bukan obyek tekanan geopolitik.
SUMBER : REUTERS
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
