
Langkah Kazakhstan untuk menyertai Perjanjian Abraham mengundang perhatian dan persoalan besar dalam geopolitik serantau bukan kerana ia memulakan hubungan baharu dengan Israel, tetapi kerana ia memeterai penyertaan itu di saat dunia masih menyaksikan kehancuran dan krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza.
Pengumuman tersebut dibuat selepas perbualan telefon tiga hala antara Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, ketika Tokayev berada di Washington untuk perhimpunan pemimpin Asia Tengah di Rumah Putih.
Trump, yang menggambarkan langkah itu sebagai “membina jambatan merentasi dunia”, menyifatkan penyertaan Kazakhstan sebagai kesinambungan visi Perjanjian Abraham yang diperkenalkannya semasa penggal pertamanya. Namun, pengumuman ini hadir dalam suasana politik yang jauh berbeza dibandingkan tahun 2020 ketika rundingan normalisasi dijalankan sebelum perang besar di Gaza tercetus.
PERSOALAN TIMING: SIMBOLISME DI TENGAH KEHANCURAN
Kazakhstan, sebuah negara majoriti Muslim yang mempunyai hubungan diplomatik sedia ada dengan Israel sejak 1990-an, dilihat tidak menghadapi halangan domestik yang sama seperti negara Arab yang pernah menandatangani perjanjian tersebut. Namun, kenyataan bahawa ia menjadi negara pertama menyertai Perjanjian Abraham sejak perang Gaza bermula, akan menimbulkan persoalan sensitiviti dan solidariti terhadap penderitaan Palestin di mata dunia Islam.
Walaupun Tokayev tidak mengeluarkan kenyataan yang jelas mengenai pendiriannya terhadap Gaza, langkah ini seolah-olah mengirim isyarat bahawa kepentingan strategik, pelaburan, dan jaminan keselamatan kini mengambil keutamaan berbanding tekanan moral antarabangsa terhadap kekejaman yang masih berlaku.
KEPENTINGAN STRATEGIK DAN EKONOMI DI SEBALIK PERJANJIAN
Pada hari yang sama, Washington dan Astana turut menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam mineral kritikal sebuah sektor yang sensitif kerana melibatkan rantaian bekalan global, persaingan dengan China, dan tenaga nuklear. Kazakhstan kini merupakan pengeluar uranium terbesar dunia, menjadikannya pemain strategik dalam peralihan tenaga global.
Tambah lagi, Kazakhstan memeterai perjanjian dengan Nvidia bernilai sehingga $2 bilion untuk pembangunan cip AI. Satu pelaburan yang secara jelas menunjukkan aspirasi negara itu untuk melonjak menjadi hab teknologi serantau.
Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa penyertaan Kazakhstan dalam Perjanjian Abraham bukan sekadar simbol diplomatik, tetapi sebahagian daripada rangkaian tawaran ekonomi dan teknologi yang lebih mendalam.
BAYANGAN RIYADH: ARAB SAUDI MENJADI SASARAN SETERUSNYA
Trump secara terbuka menyatakan harapannya bahawa Arab Saudi akan turut menyertai perjanjian tersebut. Putera Mahkota Mohammed bin Salman dijangka melawat Rumah Putih akhir bulan ini, sekali gus meningkatkan spekulasi bahawa Riyadh sedang menilai sama ada untuk mengorbankan isu Palestin demi kerjasama strategik dan keselamatan dengan Washington dan Tel Aviv.
Jika Saudi menyertai, ia akan menjadi penanda perubahan sejarah dalam politik dunia Islam tetapi juga mungkin memecah belahkan umat lebih daripada sebelumnya.
KESIMPULAN: DIPLOMASI REALISTIK, TETAPI SAATNYA MENGUNDANG KEKECEWAAN
Penyertaan Kazakhstan bukanlah pengkhianatan tetapi ia berlaku pada saat dunia sedang menyaksikan keganasan yang nyata, kehancuran infrastruktur awam, dan tragedi kemanusiaan yang terus meragut ribuan nyawa Palestin. Ia memberi gambaran bahawa kuasa ekonomi, keselamatan dan tekanan geopolitik masih menjadi bahasa utama hubungan antarabangsa sementara suara rakyat yang menuntut keadilan terus terpinggir.
Dalam konteks ini, langkah Kazakhstan mungkin boleh difahami dari sudut realpolitik tetapi ia tidak dapat lari daripada meninggalkan rasa kecewa dan kehilangan solidariti, terutama di kalangan masyarakat Muslim yang mengharapkan lebih banyak keberanian moral dari negara-negara sahabat Palestin.
SUMBER : FINANCIAL TIMES
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
