
NABLUS, TEBING BARAT — Pihak berkuasa Israel telah merampas lebih 70,000 meter persegi tanah Palestin di wilayah Nablus, utara Tebing Barat yang diduduki, dalam langkah yang disifatkan oleh pemerhati sebagai sebahagian daripada kempen berterusan untuk memperluas penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Menurut Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin, perintah rampasan yang dikeluarkan pada Ahad itu memberi alasan “tujuan keselamatan dan ketenteraan,” dan menyasarkan beberapa kampung berhampiran penempatan Eli. Dokumen rasmi menunjukkan bahawa Israel hanya memberi tempoh bantahan selama seminggu sebelum memuktamadkan rampasan tersebut. Satu prosedur yang dikritik oleh kumpulan hak asasi sebagai “proses undang-undang rekaan” untuk mengabsahkan penjajahan.
Langkah terbaharu ini menjadikan 53 perintah rampasan tentera telah dikeluarkan oleh Israel sejak awal 2025, sebahagian daripada strategi lebih luas untuk memperkukuh cengkaman ke atas Tebing Barat yang diduduki sejak 1967.
Israel sedang mencipta realiti baharu di lapangan, satu penaklukan secara senyap,” kata jurucakap Suruhanjaya itu dalam kenyataan. “Penempatan terus berkembang, sementara kampung Palestin dikepung oleh tembok dan zon tentera.”
Data rasmi menunjukkan bahawa Israel telah menubuhkan sekitar 710 penempatan dan pos tentera di Tebing Barat — purata satu setiap lapan kilometer persegi.
LANGGAR UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA
Masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), secara konsisten menganggap penempatan Israel sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya mengikut Konvensyen Geneva Keempat.
Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan pendapat nasihat yang menyatakan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah, dan menuntut pemindahan segera semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Walaupun keputusan itu tidak mengikat secara undang-undang, ia menandakan tekanan diplomatik antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel tekanan yang setakat ini tidak mengubah dasar lapangan rejim Tel Aviv.
KEGANASAN BERTERUSAN DI TEBING BARAT
Sementara itu, operasi ketenteraan Israel terus meningkat di seluruh Tebing Barat. Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 37 tahun cedera parah selepas ditembak dengan peluru hidup di Ramallah, dan kini dirawat di hospital.
Sejak perang di Gaza meletus dua tahun lalu, pihak berkuasa Palestin menganggarkan lebih 1,051 rakyat Palestin terbunuh, 10,300 cedera, dan lebih 20,000 ditahan, termasuk 1,600 kanak-kanak. Angka yang menurut pemerhati antarabangsa menunjukkan pola penindasan sistematik di bawah pendudukan Israel.
Ancaman terhadap Penyelesaian Dua Negara
PBB dan Kesatuan Eropah berulang kali memberi amaran bahawa peluasan penempatan secara berterusan menghakis prospek penyelesaian dua negara, satu-satunya kerangka yang diiktiraf antarabangsa untuk menamatkan konflik berdekad antara Israel dan Palestin.
Namun, di lapangan, realitinya semakin jauh: wilayah Palestin semakin terpecah, tanah dirampas, dan penduduknya terus hidup di bawah kekangan ketenteraan yang semakin ketat.
SUMBER : ANADOLU AGENCY
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
