
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Ahad mengarahkan pasukan tentera negara itu bersiap sedia untuk melancarkan operasi baharu yang disasarkan terhadap rangkaian “terowong Hamas” di Semenanjung Gaza — satu langkah yang orang gila dakwa sebagai fasa seterusnya selepas pembebasan tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui minggu ini.
Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, Katz menyifatkan pembongkaran sistem bawah tanah itu sebagai “cabaran utama bagi Israel selepas fasa mengembalikan tebusan,” sambil menambah bahawa operasi tersebut akan dijalankan “secara langsung oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan melalui mekanisme antarabangsa di bawah kepimpinan serta pengawasan Amerika Syarikat.”
Menurutnya, usaha untuk merobohkan jaringan terowong bawah tanah yang telah lama menjadi simbol kekuatan pertahanan Hamas itu merupakan “tujuan utama” proses demilitarisasi Gaza dan pelucutan senjata Hamas yang digariskan dalam perjanjian gencatan senjata.
Perkembangan ini hadir hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan mengenai fasa pertama pelan 20 perkara yang dibentangkannya pada 29 September, bertujuan menamatkan perang yang telah berlarutan lebih setahun di Gaza.

Perjanjian itu merangkumi pembebasan semua tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk kira-kira 2,000 tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Fasa pertama gencatan senjata mula berkuat kuasa pada tengah hari Jumaat, dengan tentera Israel melengkapkan pengunduran ke “garisan kuning”, yang menandakan zon keselamatan baharu sebelum tempoh 72 jam pertukaran tahanan bermula.
Sementara itu, fasa kedua pelan tersebut dijangka lebih kompleks, melibatkan pembentukan mekanisme pemerintahan baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, serta penubuhan pasukan keselamatan gabungan yang terdiri daripada rakyat Palestin dan tentera negara Arab dan Islam yang terpilih.
Namun, di sebalik rundingan diplomatik dan bahasa yang mencerminkan “keamanan berperingkat”, Gaza kekal dalam kehancuran. Sejak Oktober 2023, lebih 67,600 rakyat Palestin — majoritinya wanita dan kanak-kanak — terbunuh dalam serangan udara dan darat Israel, dengan wilayah pantai itu kini dianggap tidak lagi boleh didiami oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dengan operasi baharu terhadap terowong yang diumumkan Katz, ramai penganalisis menjangkakan ketegangan boleh kembali meningkat, walaupun dalam fasa awal gencatan senjata. Bagi warga Gaza, janji pembinaan semula masih samar, manakala bayang-bayang peperangan lama terus menghantui bawah tanah mereka.
SUMBER : ANADOLU AGENCY
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
