
WASHINGTON — Dalam satu pengumuman yang digambarkan sebagai “hari bersejarah” bagi dunia Arab, Israel, dan Amerika Syarikat, Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani fasa pertama perjanjian keamanan Gaza yang dicadangkan oleh Washington — satu langkah diplomatik yang berpotensi mengubah lanskap konflik Timur Tengah selepas dua tahun pertumpahan darah di Gaza.
“Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas kedua-duanya telah menandatangani fasa pertama Rancangan Keamanan kami, menyifatkan detik itu sebagai “hari yang hebat untuk dunia Arab dan Islam, Israel, negara-negara sekitarnya, dan Amerika Syarikat.” tulis Trump di platform Truth Social
Menurut Trump, perjanjian tersebut menandakan permulaan proses berperingkat yang menyaksikan pembebasan semua tebusan Israel di Gaza dan pengunduran tentera Israel ke “barisan yang dipersetujui” sebagai langkah awal ke arah “keamanan yang kukuh, tahan lama dan kekal.”
“Semua pihak akan dilayan dengan adil,” tambah beliau
RUNDINGAN DI KAHERAH
Pengumuman itu dibuat selepas beberapa hari rundingan intensif di Kaherah, di mana pegawai tinggi dari Amerika Syarikat, Mesir, Türkiye, dan Qatar berusaha menjembatani jurang antara Israel dan Hamas.
Menurut saluran Al-Qahera News yang dikendalikan kerajaan Mesir, antara peserta utama ialah Duta Khas AS Steve Witkoff, menantu Trump Jared Kushner, Ketua Perisikan Turki Ibrahim Kalin, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Ketua Perisikan Mesir Hassan Rashad, dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel Ron Dermer.
Trump sebelum ini memberitahu pemberita bahawa beliau “mungkin akan ke Mesir pada hujung minggu ini,” sambil menambah bahawa terdapat “peluang yang sangat baik” untuk kemajuan dalam rundingan gencatan senjata tersebut.
“Saya baru sahaja diberi nota oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio, yang mengatakan bahawa kami sangat hampir dengan perjanjian di Timur Tengah, dan mereka akan memerlukan saya dengan cepat,” kata Trump.
RANGKA PELAN 20 PERKARA
Rancangan keamanan yang diumumkan Trump pada 29 September lalu dikenali secara tidak rasmi sebagai “Pelan Gaza 2025” mengandungi 20 perkara utama, termasuk pembebasan semua tawanan Israel, pelaksanaan gencatan senjata penuh, serta pelucutan senjata Hamas dalam tempoh tertentu.
Hamas, menurut sumber diplomatik di Kaherah, telah “bersetuju secara prinsip” dengan pelan tersebut, walaupun beberapa butiran pelaksanaan masih belum dimuktamadkan.
Sumber yang dekat dengan rundingan berkata fasa pertama perjanjian itu akan melibatkan penghentian serangan udara Israel, pembukaan semula laluan bantuan kemanusiaan secara penuh, dan pemindahan berperingkat tebusan Israel dan tahanan Palestin sebagai langkah membina keyakinan.
BAYANGAN KEAMANAN SELEPAS KEGANASAN
Sejak Oktober 2023, serangan tentera Israel telah membunuh hampir 67,200 rakyat Palestin di Gaza majoritinya wanita dan kanak-kanak dan memusnahkan sebahagian besar kawasan berpenduduk, menjadikannya tidak lagi layak didiami.
Pakar kemanusiaan PBB sebelum ini menyifatkan Gaza sebagai “tanah tanpa hospital, tanpa sekolah, dan tanpa masa depan.” Kini, pengumuman perjanjian ini menimbulkan secercah harapan bahawa penderitaan berjuta-juta penduduk mungkin akhirnya akan berakhir.
Namun, ramai penganalisis memberi amaran bahawa cabaran sebenar masih jauh dari selesai. Persoalan tentang pelucutan senjata Hamas, keselamatan Israel, dan status politik Gaza pasca-konflik dijangka menjadi batu ujian utama terhadap keberkesanan pelan Trump ini.
REAKSI ANTARABANGSA
Pemimpin dunia memberi reaksi bercampur-campur terhadap berita itu. Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi memuji usaha diplomatik AS dan menegaskan bahawa Mesir “akan terus menjadi pengantara bagi keamanan yang adil dan menyeluruh.”
Turkiye dan Qatar, dua negara yang memainkan peranan penting dalam membawa Hamas ke meja rundingan, turut memuji langkah tersebut sebagai “permulaan baharu bagi keamanan serantau.”
Di Washington, beberapa penggubal undang-undang Demokrat menyuarakan keraguan bahawa perjanjian itu boleh dilaksanakan sepenuhnya tanpa mekanisme pemantauan antarabangsa, sementara pihak Republikan menyifatkan langkah Trump sebagai “kejayaan diplomatik terbesar sejak Perjanjian Abraham.”
SUMBER : ANADOLU AGENCY
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
