
Sanae Takaichi, seorang ahli politik veteran yang lantang dan berprinsip konservatif, kini berada di ambang sejarah apabila dipilih sebagai pemimpin baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah Jepun — sekaligus membuka jalan untuk menjadi perdana menteri wanita pertama negara itu.
Namun di sebalik detik bersejarah ini, kemenangan Takaichi turut menandakan satu titik perubahan ideologi yang signifikan bagi Jepun sebuah peralihan kembali ke arah kanan politik yang mencerminkan nostalgia terhadap era Shinzo Abe dan kerinduan terhadap kestabilan yang semakin pudar.
SEORANG IRON LADY BAHARU DI TOKYO
Berusia 64 tahun, Takaichi merupakan watak yang kompleks: bekas hos televisyen, pemain dram heavy metal, dan ahli politik yang telah membina reputasi sebagai salah satu tokoh paling lantang dalam sayap kanan Jepun. Di pentas antarabangsa, beliau sering digambarkan sebagai “Margaret Thatcher Jepun” gelaran yang beliau sendiri terima dengan bangga.
“Saya kagum dengan ketegasan dan keberanian Thatcher, pemimpin sejati perlu berani membuat keputusan yang sukar.” Katanya dalam satu temu bual lama.
Namun, bagi sebahagian rakyat Jepun, terutama wanita muda, beliau bukanlah simbol kemajuan gender. Pandangannya yang konservatif terhadap isu sosial termasuk penentangan terhadap perkahwinan sejenis dan keengganan membenarkan wanita mengekalkan nama keluarga selepas berkahwin menimbulkan kritikan bahawa kehadirannya lebih memperkukuh patriarki daripada menentangnya.
“Dia mungkin seorang wanita, tetapi dia tidak membawa agenda wanita, pengarah Pengajian Asia di Temple University, Tokyo. “Seperti Thatcher, dia bukan seorang penyembuh. Dia tidak mengubah struktur kuasa dia mengukuhkannya.” kata Profesor Jeff Kingston.
CABARAN DI TENGAH KRISIS EKONOMI DAN POLITIK
Takaichi mewarisi sebuah negara yang terperangkap dalam tekanan ekonomi yang semakin mendalam. Jepun kini berdepan dengan inflasi yang berterusan, pertumbuhan upah yang lembap, dan kos sara hidup yang menekan isi rumah kelas pekerja.
Selain itu, hubungannya dengan Washington berada di persimpangan. Takaichi dijangka perlu menegosiasikan semula beberapa perjanjian tarif yang diwarisi daripada pentadbiran Trump, yang kini kembali berkuasa di Rumah Putih.
Di dalam negara, tugasnya lebih mencabar menyatukan LDP yang berpecah akibat siri skandal dan kekalahan pilihan raya. Pengunduran bekas Perdana Menteri Shigeru Ishiba bulan lalu selepas hanya setahun berkhidmat meninggalkan kekosongan kepimpinan dan luka dalaman yang mendalam dalam parti.
Profesor Kingston menjelaskan, “Dia seorang ‘garis tegar’. Takaichi percaya bahawa LDP kehilangan daya tarikan kerana terlalu sederhana dan terpisah daripada DNA asal sayap kanannya. Tetapi langkah ini juga berisiko menjauhkan pengundi arus perdana.”
BAYANGAN SHINZO ABE DAN ARAH BAHARU JEPUN
Sebagai anak didik politik mendiang Shinzo Abe, Takaichi mewarisi bukan sahaja pengaruhnya, tetapi juga warisan ideologinya. Beliau telah berikrar untuk menghidupkan semula Abenomics, strategi ekonomi yang menggabungkan perbelanjaan fiskal besar-besaran dan kadar pinjaman rendah bagi merangsang pertumbuhan.
Namun, di luar ekonomi, pendiriannya dalam dasar keselamatan dan sejarah Jepun menimbulkan perdebatan. Takaichi ialah penyokong kuat pindaan Perlembagaan pasifis Jepun, yang boleh membenarkan pasukan pertahanan negara memainkan peranan ketenteraan yang lebih aktif langkah yang disambut oleh nasionalis, tetapi dibimbangi oleh jiran seperti Korea Selatan dan China.
Kunjungan tetapnya ke Kuil Yasukuni tempat di mana beberapa penjenayah perang Jepun disemadikan telah berulang kali mencetuskan kemarahan di rantau ini. Namun bagi penyokongnya, tindakan itu bukan provokasi, tetapi satu simbol penghormatan kepada “roh patriotik Jepun yang sejati”.
JALAN MENUJU KUASA DAN LEGASI BAHARU
Walaupun LDP kini kehilangan majoriti di kedua-dua dewan parlimen, pengesahan Takaichi sebagai perdana menteri dijangka tetap berlaku, memandangkan beliau masih menguasai gabungan sokongan parti-parti kecil. Namun laluan pemerintahannya dijangka sukar dan penuh ujian.
Beliau kini memikul dua beban: membuktikan bahawa Jepun bersedia menerima seorang wanita di tampuk kuasa, dan bahawa kepimpinannya mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan konservatif yang semakin terhakis.
Di luar Parlimen, ramai wanita Jepun memandang ke arah Takaichi dengan perasaan bercampur. Ada yang melihatnya sebagai lambang kemajuan, ada pula yang melihatnya sebagai cerminan sistem politik yang tidak berubah, hanya wajahnya yang berbeza.
Seperti yang ditulis oleh seorang kolumnis di Asahi Shimbun:
“Jika Takaichi menjadi perdana menteri pertama Jepun, sejarah akan mencatatnya. Tetapi sejarah juga akan menilai. Adakah beliau membuka pintu untuk wanita, atau menutupnya dengan tangan sendiri.”
SUMBER : BBC
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
