
Beberapa aktivis antarabangsa yang dihantar pulang dari Israel selepas menyertai Global Sumud Flotilla menuduh tentera Israel telah menganiaya aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg, semasa dalam tahanan, termasuk memaksanya “mencium bendera Israel” dan “mengaraknya sebagai simbol penghinaan”.
Seramai 137 aktivis mendarat di Istanbul pada Sabtu, termasuk 36 warga Turki serta peserta dari Amerika Syarikat, Malaysia, Itali, Switzerland, Kuwait, Tunisia, Libya, Jordan, dan beberapa negara lain. Pegawai Turki mengesahkan kumpulan itu merupakan sebahagian daripada ratusan aktivis yang ditahan selepas tentera laut Israel memintas armada bantuan menuju Gaza awal minggu lalu.
“SAYA LIHAT SENDIRI MEREKA MENYERET GRETA KE TANAH”
Wartawan Turki dan peserta flotilla, Ersin Çelik, berkata kepada media tempatan bahawa beliau menyaksikan tentera Israel “menyeksa Greta Thunberg” di pusat tahanan sementara.
“Mereka menyeretnya ke tanah dan memaksanya mencium bendera Israel, Ia adalah pemandangan yang sangat menyedihkan dan memalukan bagi sebuah negara yang mendakwa dirinya demokratik.” katanya.
Aktivis Malaysia, Hazwani Helmi, dan peserta Amerika, Windfield Beaver, memberikan keterangan yang sama di Lapangan Terbang Istanbul.
“Ia adalah bencana. Mereka melayan kami seperti haiwan, kami tidak diberi makanan, air bersih atau ubat-ubatan.” kata Hazwani.
Beaver menambah bahawa Thunberg “dilayan dengan teruk” dan “dijadikan alat propaganda”.
“Saya melihat sendiri bagaimana seorang pegawai kanan yang kemudian saya kenal sebagai Menteri Keselamatan Nasional Itamar Ben-Gvir memasuki bilik dan Greta segera ditolak ke dalam, mereka memperlakukannya seperti musuh negara.” katanya.
“GRETA DIBALUT DENGAN BENDERA ISRAEL DAN DIPAMERKAN SEPERTI TROFI”
Wartawan Itali, Lorenzo Agostino, yang turut serta dalam flotilla, menyifatkan layanan terhadap Thunberg sebagai “tidak berperikemanusiaan”.
“Greta Thunberg, seorang wanita muda yang berani berumur 22 tahun, dihina dan dibalut dengan bendera Israel. Mereka mempamerkannya seperti trofi kemenangan,” katanya kepada agensi berita Anadolu
Seorang penyampai TV Turki, Ikbal Gürpınar, yang turut ditahan, memberikan gambaran yang lebih suram:
“Kami dilayan seperti anjing. Mereka membiarkan kami kelaparan selama tiga hari. Tiada air, tiada ubat. Kami terpaksa minum dari tandas. Hari itu sangat panas, dan kami semua seperti sedang dipanggang,” katanya.
“Namun pengalaman itu membuka mata saya, inilah sedikit sebanyak apa yang dirasai rakyat Gaza setiap hari.”
LAPORAN PENJARA : DINDING BERLUMURAN DARAH, NAMA ANAK DIUKIR
Menurut Kementerian Luar Itali, 26 warga Itali telah dihantar pulang, manakala 15 lagi masih dalam tahanan Israel menunggu proses pengusiran.
Ahli Parlimen Itali Arturo Scotto, yang turut menaiki kapal dalam flotilla, berkata pihak yang sebenarnya melanggar undang-undang antarabangsa ialah Israel, bukan para aktivis.
“Mereka yang berada di atas bot bertindak dengan sah, yang melanggar undang-undang ialah mereka yang menghalang bantuan sampai ke Gaza,” katanya kepada wartawan di Rome.
Organisasi hak asasi Israel Adalah, yang menyediakan bantuan guaman kepada para tahanan, mendakwa ramai ditahan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan berlutut berjam-jam dengan tangan diikat, dinafikan ubat, serta dilarang bercakap dengan peguam.
Namun jurucakap Kementerian Luar Israel menolak semua tuduhan itu sebagai “pembohongan sepenuhnya.”
“Semua tahanan diberi akses kepada makanan, air, tandas dan peguam. Israel menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya kepada Reuters.
GELOMBANG KECAMAN GLOBAL TERHADAP ISRAEL
Serangan ke atas armada bantuan itu telah mencetuskan gelombang kecaman antarabangsa terhadap Israel, yang berdepan tuduhan melanggar undang-undang maritim antarabangsa kerana menyerang kapal awam di perairan antarabangsa.
Flotilla yang dilancarkan pada penghujung Ogos itu membawa bantuan makanan, ubat-ubatan, dan peralatan perubatan ke Gaza wilayah yang kini menghadapi krisis kemanusiaan terburuk sejak perang bermula.
Lebih 2.3 juta penduduk Gaza kini hidup dalam kepungan ketat Israel, tanpa akses kepada air bersih, bekalan makanan mencukupi, dan kemudahan kesihatan asas.
Bagi ramai pemerhati antarabangsa, tindakan terhadap aktivis seperti Greta Thunberg hanyalah satu lagi tanda bahawa Israel semakin beralih daripada sebuah negara yang mempertahankan diri kepada sebuah rejim yang menindas sesiapa sahaja yang mencabar kekuasaannya walaupun dengan cara aman.
“Apa yang kami lalui hanyalah satu hari dari kehidupan rakyat Gaza,” kata Hazwani Helmi sebelum menaiki pesawat pulang ke Kuala Lumpur.
“Bezanya, mereka tidak pernah dibebaskan.”
SUMBER : AL-JAZEERA
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
