
NEW YORK — Amerika Syarikat telah membentangkan satu cadangan 21 perkara yang digambarkan sebagai pelan menyeluruh untuk “hari selepas” perang Israel di Gaza berakhir. Dokumen yang pertama kali dilaporkan oleh Times of Israel itu dikongsi Washington dengan sekutu Arab dan Islam minggu ini di luar Perhimpunan Agung PBB mencerminkan usaha baharu untuk menentukan masa depan wilayah yang musnah akibat pembunuhan beramai-ramai.
Cadangan itu merangkumi beberapa elemen yang kononnya memberi manfaat kepada rakyat Palestin: mengekalkan mereka di tanah Gaza, membuka laluan bantuan kemanusiaan, dan menyediakan jalan ke arah penubuhan sebuah negara Palestin pada masa depan. Namun, ia juga sarat dengan syarat yang seakan mengekalkan dominasi Israel dan meredamkan sepenuhnya gerakan penentangan.
KANDUNGAN PELAN : DARI TEBUSAN KE DEMILITARISASI
Antara klausa utama ialah pembebasan semua 48 tawanan Israel yang masih dipegang Hamas, sebagai pertukaran dengan pembebasan lebih 1,000 rakyat Palestin yang ditahan sejak permulaan perang, ratusan tahanan yang menjalani hukuman seumur hidup, serta mayat ratusan rakyat Palestin.
Sebagai ganti, Hamas diminta untuk melucutkan senjata dan menerima demilitarisasi Gaza. Anggota Hamas yang bersedia “hidup secara aman” akan dibenarkan tinggal di jalur itu, sementara yang lain dihantar ke negara asing yang mahu menerima mereka.
Bantuan kemanusiaan akan dibenarkan masuk pada kadar 600 trak sehari, diagihkan oleh PBB, Bulan Sabit Merah, serta organisasi bantuan antarabangsa lain termasuk sebuah yayasan kemanusiaan baharu yang ditubuhkan dengan kerjasama Israel dan AS. Jentera berat juga akan dibawa masuk untuk membersihkan runtuhan di kawasan yang hancur lebur.
MENOLAK PEMINDAHAN PAKSA, TETAPI BUKAN NEGARA BERDAULAT
Menariknya, cadangan AS itu secara jelas menolak rancangan Israel untuk mengusir dua juta rakyat Palestin keluar dari Gaza sesuatu yang pernah disokong secara terbuka oleh Presiden Donald J. Trump dengan idea membina semula Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah.” Sebaliknya, dokumen ini menegaskan bahawa penduduk Palestin mesti kekal di wilayah mereka.
Namun, soal kedaulatan kekal samar. Pelan itu menyebut tentang “laluan menuju negara Palestin masa depan” yang akan dipimpin oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diperbaharui, tetapi tidak menetapkan tempoh masa atau butiran reformasi. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah berulang kali menolak idea negara Palestin, sekali gus meletakkan cadangan AS ini dalam percanggahan jelas dengan sikap rasmi Israel.
SIAPA YANG AKAN MENTADBIR GAZA?
Di bawah cadangan tersebut, Gaza tidak akan diduduki atau dijajah secara langsung oleh Israel. Sebaliknya, tentera Israel akan berundur secara berperingkat, menyerahkan kawalan kepada pasukan penstabilan antarabangsa baharu.
Gaza kemudian akan ditadbir oleh sebuah kerajaan teknokrat sementara Palestin di bawah pengawasan badan antarabangsa. Financial Times melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, kini sedang mengintai “peranan kanan” dalam pentadbiran itu satu perkembangan yang mencetuskan kritikan keras, mengingatkan kepada peranannya dalam pencerobohan Iraq pada 2003.
Pihak Berkuasa Palestin dijangka tidak akan terlibat pada peringkat awal, tetapi mungkin mengambil alih kemudian selepas proses pembaharuan yang dituntut Washington dan sekutunya.
REAKSI BERCAMPUR-BAUR
Rancangan ini datang ketika kabinet Israel yang dikuasai sayap kanan terus menuntut pengilhakan Tebing Barat dan Gaza. Menteri kontroversi Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich menolak sebarang langkah yang boleh membawa kepada negara Palestin.
Di pihak lain, Trump yang kini kembali ke White House mempromosikan rancangan itu di platform medianya, Truth Social, dengan menekankan bahawa “rundingan sengit telah berlangsung selama empat hari” dan akan diteruskan “sehingga perjanjian dicapai.” Beliau menambah bahawa semua pihak, termasuk Hamas dan Netanyahu, telah dimaklumkan.
Namun bagi ramai pengkritik, pelan 21 mata ini dilihat sebagai usaha Washington untuk membekukan status quo dengan wajah baharu menyalurkan bantuan kemanusiaan dan janji samar-samar mengenai negara Palestin, sambil memastikan kawalan keselamatan tetap berpihak kepada Israel dan sekutu Barat
Seorang diplomat Arab yang enggan dikenali berkata :
“Ini bukan formula untuk kebebasan Palestin, tetapi formula untuk pengurusan konflik berterusan.”
HAMAS MENOLAK CADANGAN GENCATAN SENJATA RANCANGAN TRUMP
Hamas tidak menerima rancangan gencatan senjata Gaza Presiden AS Donald Trump , kumpulan Palestin yang mengendalikan kawasan enklaf itu berkata pada hari Sabtu ketika tentera Israel memperluaskan serangan mereka ke atas Gaza City.
Komen itu dibuat selepas akhbar Israel Haaretz memetik sumber mengatakan Hamas pada dasarnya bersetuju untuk membebaskan semua tebusan Israel yang dipegangnya sebagai balasan kepada ratusan tawanan Palestin dan pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur di bawah rancangan Trump.
Turut termasuk dalam cadangan itu ialah berakhirnya pemerintahan Hamas di Gaza, dan Israel bersetuju untuk tidak mengilhakkan wilayah itu dan menghalau penduduk Palestin yang tinggal di sana, lapor Haaretz.
“Hamas tidak dibentangkan dengan sebarang rancangan,” kata seorang pegawai Hamas yang enggan namanya didedahkan kepada Reuters.
Dalam komennya kepada pemberita pada hari Jumaat di mana beliau berkata “ia kelihatan seperti kita mempunyai perjanjian mengenai Gaza”, Trump tidak memberikan butiran kandungannya dan tidak memberikan jadual waktu. Israel belum membuat sebarang respons awam terhadap komen Trump.
SUMBER : THE CRADLE & REUTERS
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL MEDAN UTAMA BERITA GEOPOLITIK YANG MENYELURUH DAN TERKINI
