
Gaza — Untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, kata Navi Pillay, bekas hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan kini mengetuai Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyiasat Gaza, satu syarat mesti wujud : mangsa perlu dilihat bukan sebagai manusia.
Apabila saya melihat fakta di Rwanda, ia sangat serupa dengan ini, mangsa dilihat sebagai haiwan. Dan apabila mereka bukan lagi manusia, maka membunuh tanpa rasa bersalah menjadi mungkin. Katanya.
Pillay menyertai senarai panjang badan antarabangsa dari B’Tselem, pertubuhan hak asasi Israel, hingga ke pakar PBB lain yang menuduh Israel melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dalam perang di Gaza.
NORMALISASI KEKERASAN
Israel kini membedil Kota Gaza, kawasan yang pernah menjadi pusat kehidupan Palestin, walaupun puluhan ribu awam masih berlindung di sana di tengah-tengah kebuluran yang semakin parah. Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, baru-baru ini membual bahawa “Gaza sedang terbakar.”
Penderitaan awam jarang sekali disebut dalam wacana politik Israel. Serangan udara yang bertujuan memaksa penduduk berpindah dipersembahkan sebagai strategi ketenteraan yang sah, malah dalam beberapa kes diraikan.
Lebih 64,900 rakyat Palestin telah terbunuh sejak perang bermula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Namun, protes awam di Israel sebahagian besarnya menuntut perjanjian bagi membebaskan tawanan Israel bukan menghentikan kempen pengeboman.
Tinjauan yang dijalankan oleh aChord Center, sebuah institut penyelidikan Israel, mendapati 76 peratus orang Yahudi Israel percaya bahawa di Gaza “tiada siapa yang benar-benar tidak bersalah.”
Genosid tidak berlaku secara tiba-tiba, Ia hasil daripada sistem yang telah lama mempersiapkan masyarakat untuk melihat kematian Palestin sebagai sesuatu yang normal. Kata Orly Noy, wartawan Israel yang berpusat di Tel Aviv.

AKAR SEJARAH DEHUMANISASI
Penyahmanusiaan rakyat Palestin bukanlah fenomena baru. Sejak 1948, ketika ratusan ribu rakyat Palestin diusir dalam peristiwa Nakba, naratif negara Israel dibentuk di atas idea bahawa Palestin adalah “tanah tanpa rakyat.”
B’Tselem, dalam laporan terbarunya, menyatakan bahawa dasar Israel selama puluhan tahun bertujuan “mengukuhkan dominasi Yahudi” di seluruh wilayah di bawah kawalannya. Jurucakap B’Tselem, Yair Dvir, menegaskan :
Sistem pendidikan kami tidak mengajar tentang Palestin, budaya mereka, atau Nakba. Generasi membesar tanpa pengetahuan tentang siapa yang hidup di sekeliling mereka.
Kajian sejak 1980-an menunjukkan buku kanak-kanak Ibrani sering menggambarkan Palestin sebagai “anjing lapar darah” atau “serigala pemangsa.” Penyelidikan dua dekad kemudian mendapati sebahagian pelajar sekolah Israel melukis Palestin sebagai haiwan apabila diminta menggambarkan mereka. Generasi itulah kini sebahagian daripada tentera di Gaza.
Orang Palestin tidak hanya dilihat sebagai musuh, mereka dilihat melalui lensa kolonial: sebagai bangsa bawahan, kata Noy.

PERARAKAN MELALUI INSTITUSI
Selepas penarikan penempatan dari Gaza pada 2005, sayap kanan agama Israel melancarkan apa yang mereka sebut sebagai “perarakan melalui institusi” kempen untuk memastikan pengaruh mereka menembusi pendidikan, media, tentera dan birokrasi.
Kepercayaan itu masih membentuk dasar hari ini, kata Nimrod Flaschenberg, seorang penganalisis Israel yang berpangkalan di Berlin.
Walaupun retorik paling keras datang daripada tokoh sayap kanan seperti Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir, sikap sama kadang-kadang muncul daripada tokoh yang dianggap liberal. Bekas ketua perisikan tentera, Aharon Haliva, misalnya, pernah berkata bahawa 50 rakyat Palestin patut dibunuh bagi setiap nyawa Israel yang terkorban pada 7 Oktober dan “tidak mengapa walaupun mereka kanak-kanak.”
Perbezaan antara mereka yang menggelar diri liberal dan mereka yang ekstremis semakin kabur, kata ahli sosiologi Yehouda Shenhav-Shahrabani.
PROSES BERTERUSAN
Bagi Shenhav-Shahrabani, apa yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat bukan sekadar episod, tetapi kesinambungan daripada Nakba.
Kami bercakap tentang Nakba sebagai peristiwa, tetapi ia sebenarnya satu proses. Ia berlaku sekarang, di Gaza dan Tebing Barat.
Dalam wacana umum Israel, katanya, masih wujud tanggapan bahawa kehadiran rakyat Palestin bersifat sementara, dan bahawa perpindahan mereka akhirnya tidak dapat dielakkan.
Bagi banyak penganalisis, inilah yang menjelaskan bagaimana masyarakat boleh menormalkan pembunuhan beramai-ramai dengan menjadikan Palestin sebagai “yang lain” sejak awal.
Seperti yang dinyatakan oleh Pillay, penyahmanusiaan adalah langkah pertama. Apa yang berlaku di Gaza hari ini menunjukkan bagaimana ia akhirnya diterjemahkan ke dalam tindakan: serangan udara tanpa henti, kemusnahan kota, dan penderitaan manusia yang dijustifikasikan sebagai harga sebuah kemenangan.
SUMBER : AL JAZEERA
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
