
Dengan serangan darat ke atas Kota Gaza, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah mengabaikan hampir semua bentuk kekangan, sekali gus memperdalam pengasingan Israel di pentas dunia.
Sebelum perang Gaza meletus hampir dua tahun lalu, Netanyahu lebih dikenali sebagai seorang pemimpin berhati-hati lantang dalam retorik tetapi terukur dalam tindakan. Namun, dengan keputusan menghantar tenteranya menawan Gaza City, beliau kini kelihatan rela mempertaruhkan nyawa, kestabilan serantau, serta hubungan antarabangsa Israel demi kelangsungan politiknya.
PERJUDIAN POLITIK DAN TENTERA
Operasi yang didakwanya sebagai usaha “menghapuskan Hamas” telah membunuh puluhan ribu rakyat Palestin, memaksa ratusan ribu orang berpindah ke selatan, dan menjejaskan keselamatan kira-kira 20 tebusan Israel yang masih hidup. Malah, langkah ini menutup ruang bagi sebarang gencatan senjata, meskipun dipersoalkan oleh pegawai tinggi militari sendiri.
Bagi Netanyahu, jawapannya jelas: teruskan. Baru-baru ini beliau menyarankan Israel mencontohi Sparta purba, sebuah negara kota tentera yang bertahan melalui disiplin dan autarki. Kritikan bahawa beliau telah “kehilangan segala garis merah” semakin lantang, termasuk daripada bekas diplomat dan sekutu politiknya sendiri.
SOKONGAN DAN KEBENCIAN
Netanyahu kini berdepan protes jalanan, kecaman keluarga tebusan, dan tekanan antarabangsa. Sekutu Eropah, termasuk Britain, Perancis, dan Kanada, mengkritik keras kempen pengeboman yang meluluhkan Gaza. Namun, di kalangan penyokong nasionalis dan keagamaan, beliau masih dilihat sebagai “Raja” yang tidak terganti, satu-satunya pemimpin dengan keberanian menentang Hamas, Hizbullah, dan Iran.
Ironinya, musuh yang dianggapnya paling lemah Hamas terbukti paling sukar ditundukkan. Meski Netanyahu percaya kekuatan ketenteraan semata-mata mampu memaksa penyerahan, peperangan berlarutan ini telah memaksanya mengubah pendekatan berulang kali.

TRUMP, FAKTOR PENENTU
Di tengah kemelut ini, kelebihan besar Netanyahu datang dari Washington. Presiden Donald Trump kekal sebagai sekutu paling setia, dengan sokongan hampir tanpa syarat. Tidak ada presiden Amerika lain yang memberinya ruang seluas ini untuk bertindak.
Trump adalah satu-satunya orang yang boleh memaksa Netanyahu berubah. Namun, sama ada Trump sanggup menggunakan pengaruh itu masih kabur. Kata bekas perdana menteri Ehud Olmert.
Sementara itu, Setiausaha Negara Marco Rubio, dalam lawatan ke Israel baru-baru ini, tidak mengeluarkan sebarang kritikan terhadap serangan Gaza, bahkan selepas percubaan pembunuhan pemimpin Hamas di Qatar.

PERTARUHAN KELANGSUNGAN HIDUP
Bagi Netanyahu, mengakhiri perang bererti risiko besar keretakan gabungan kanan yang rapuh, siasatan rasmi terhadap serangan 7 Oktober, dan kebangkitan semula kes-kes undang-undangnya sendiri. Keadaan perang, sebaliknya, mengukuhkan posisinya menampilkan Netanyahu sebagai pemimpin dalam “ancaman wujudiah” dan menutup ruang pertanggungjawaban politik.
Namun, harga yang dibayar Israel dan rakyat Palestin semakin tinggi. Kritikan bahawa Netanyahu meletakkan kepentingan peribadi di atas negara semakin lantang, terutama apabila tebusan Israel terus merana dalam terowong Gaza lebih daripada 700 hari.
Anak saya dikorbankan di altar Netanyahu, Kata Einav Zangauker, ibu kepada seorang tebusan.
WARISAN YANG DIPERTARUHKAN
Walau tinjauan menunjukkan partinya, Likud, masih mendahului, gabungan sayap kanan yang dipimpinnya dijangka tidak mampu mengekalkan majoriti. Namun pilihan raya masih jauh lebih setahun, memberi Netanyahu ruang politik yang luas untuk bertahan.
Baginya, peperangan ini bukan sekadar tentang Hamas atau Gaza, tetapi tentang kelangsungan dan legasi.
Hidup lebih penting daripada undang-undang, katanya minggu lalu.
Satu ungkapan yang merumuskan keberanian, keangkuhan, dan keputusasaan yang kini mewarnai pemerintahannya.
SUMBER : THE NEW YORK TIMES
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
