
HEBRON, TEBING BARAT — Sejak perang Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober 2023, kehidupan ekonomi di Tebing Barat semakin runtuh. Rauf, seorang pekerja binaan Palestin, adalah salah satu wajah krisis ini.
Selepas Hamas melancarkan serangan ke atas Israel, lebih 115,000 warga Palestin di Tebing Barat kehilangan permit kerja mereka di Israel sumber utama pendapatan keluarga. Bagi Rauf, usaha terakhir untuk kembali bekerja pada Julai 2024 berakhir dengan penangkapan: dia ditahan tiga hari oleh polis Israel ketika cuba memasuki tapak pembinaan, sebelum disenarai hitam sehingga 2027.
Kini, seperti ratusan ribu yang lain, dia terperangkap di Tebing Barat, bergantung kepada kerja ganjil dengan bayaran harian sekitar 50 syikal Israel (USD15).
Kami mengambil risiko menyeberang ke Israel demi sesuap nasi. Tapi ramai yang ditembak, cedera, atau terjatuh dari pagar, Katanya
PENINGKATAN PENGANGGURAN DAN KEMISKINAN
Sebelum perang, kadar pengangguran di Tebing Barat sekitar 12.9 peratus. Setahun kemudian, angka itu melonjak ke lebih 30 peratus rekod tertinggi dalam sejarah moden wilayah itu. Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa mendapati separuh pekerja kehilangan jam kerja, lebih 60 peratus kehilangan sebahagian besar pendapatan, dan dua pertiga perniagaan mengecilkan tenaga kerja.
Akibatnya, kemiskinan meningkat mendadak. Seorang pakar ekonomi Palestin, Naser Abdelkarim, menganggarkan sepertiga keluarga kini hidup di bawah paras kemiskinan.
Sumber utama ekonomi Palestin adalah gaji pekerja di Israel, Apabila pintu itu ditutup, ekonomi runtuh. Katanya.
SENJATA EKONOMI: HASIL CUKAI DAN HUTANG
Selain kehilangan pekerjaan, sekatan kewangan Israel memperdalam krisis. Sejak 2019, Israel menahan hampir 8 bilion syikal (USD2.3 bilion) hasil cukai yang sepatutnya dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA). Dana ini kritikal untuk membayar gaji pegawai kerajaan dan mengekalkan perkhidmatan awam.
Selepas 7 Oktober 2023, Israel menahan dana tambahan yang digunakan untuk membayar kakitangan PA di Gaza. PA kemudian menolak baki pemindahan, menyebabkan krisis tunai semakin parah. Beberapa pembayaran kembali berlaku, namun tidak mencukupi. Kini, kerajaan hanya mampu melunaskan sekitar 50–70 peratus gaji, memaksa PA meminjam daripada bank.
Hutang awam Palestin kini mencecah USD13 bilion lebih 130 peratus daripada KDNK.
BANK, SEKATAN, DAN PASARAN GELAP
Lebih membimbangkan, Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich pada Jun lalu mengumumkan pembatalan perlindungan undang-undang ke atas bank Israel yang berurusan dengan institusi kewangan Palestin. Tanpa perlindungan ini, hubungan kewangan berisiko terputus, memaksa ekonomi Tebing Barat bergantung pada tunai dan pasaran gelap.
Sementara itu, lebihan syikal Israel menyesakkan pasaran Palestin. Protokol Paris 1994 mengehadkan jumlah syikal yang boleh dipindahkan setiap tahun, namun pertumbuhan ekonomi Palestin sejak itu menyebabkan lambakan wang yang tidak dapat digunakan. Bank Palestin bergelut untuk menampung cek, membiayai perdagangan, atau memproses transaksi.
Tentera Israel turut memperluaskan serbuan ke atas pusat pertukaran wang di Tebing Barat, merampas berjuta-juta dolar atas alasan memerangi keganasan. Namun bagi rakyat, pusat-pusat ini adalah nadi untuk mengedarkan dolar AS dan dinar Jordan mata wang yang lebih stabil berbanding syikal.
Menghentikan operasi ini sama seperti menyekat kehidupan harian, kata penyelidik Ihab Maharmeh.
MASA DEPAN YANG SURAM
Bagi ramai penganalisis, jalan keluar dari krisis ini bukan lagi ekonomi tetapi politik.
Tanpa menamatkan pendudukan Israel dan membina kedaulatan sebenar, rakyat Palestin tidak akan pernah memiliki ruang untuk pulih, Kata Abdelkarim.
Namun, penyelesaian itu masih jauh di kaki langit. Israel kini merancang menggantikan tenaga kerja Palestin dengan buruh migran asing, menutup terus peluang bagi mereka yang bergantung hidup pada pekerjaan di Israel.
Keadaan tidak akan berubah malah ia semakin terdesak, kata Rauf dengan nada putus asa.
Seperti ribuan lain, dia mungkin sekali lagi memanjat tembok dan mempertaruhkan nyawanya, hanya untuk membawa pulang roti buat keluarganya.
SUMBER : FOREIGN POLICY
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
