
PARIS — Kerajaan Perancis kembali bergolak apabila Perdana Menteri François Bayrou terpaksa melepaskan jawatan selepas hanya sembilan bulan berkuasa. Kejatuhan terbarunya, yang berlaku melalui undi tidak percaya di Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin, mengukuhkan gambaran bahawa republik ini kini terperangkap dalam kitaran ketidakstabilan politik yang berpanjangan.
Dalam pengundian dramatik itu, 364 ahli parlimen menolak pentadbiran Bayrou manakala hanya 194 yang menyokong. Keputusan ini menandakan penolakan keras terhadap dasar penjimatan yang digariskan perdana menteri, termasuk pemotongan perbelanjaan negara sebanyak $51 bilion setahun.
Bayrou, seorang tokoh berhaluan tengah, sebelum ini cuba mengingatkan Parlimen bahawa hutang awam Perancis yang melonjak — kini mencecah 114 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) — mengancam kemerdekaan negara.
“Hutang yang menenggelamkan kita akan menjerumuskan kita kepada kehilangan kebebasan, sama ada di tangan pemiutang atau kuasa asing,” katanya.
Namun seruannya tidak berdaya menembusi kebuntuan politik.
KRISIS PARLIMEN DAN BAYANGAN 1958
Kejatuhan ini merupakan yang keempat dalam tempoh 20 bulan, mencerminkan suasana buntu yang semakin menyerupai krisis institusi 1958, ketika Jeneral Charles de Gaulle bangkit membentuk Republik Kelima. Bezanya, kali ini tiada sosok berkarisma dengan visi alternatif yang mampu menyatukan politik Perancis.
“Persoalan kini ialah kelangsungan sistem politik kita sendiri,”
ujar Alain Duhamel, ahli sains politik terkemuka, kepada Le Monde.
“Pada 1958, Perancis masih punya De Gaulle. Hari ini, kita tidak mempunyai tokoh seumpamanya.”
MACRON TERHIMPIT, LE PEN MENUNGGU
Presiden Emmanuel Macron, yang bakal menamatkan penggalnya dalam masa 18 bulan, kini berdepan pilihan sukar: sama ada melantik perdana menteri baharu dari kem centrisme yang semakin lemah, atau memanggil pilihan raya parlimen awal — langkah yang mungkin mengukuhkan parti sayap kanan Marine Le Pen.
Walaupun Le Pen baru-baru ini disabitkan dengan kes penyelewengan dan dilarang bertanding jawatan awam selama lima tahun, pengaruhnya dalam kalangan rakyat tetap kukuh. Beliau malah mengangkat Jordan Bardella, anak didiknya yang semakin popular, sebagai calon perdana menteri masa depan.
Dalam kenyataannya selepas undian, Le Pen menegaskan :
“Pembubaran Parlimen adalah kewajipan. Apa yang kita saksikan hari ini ialah berakhirnya kerajaan hantu.”
BEBAN EKONOMI DAN IDENTITI NASIONAL
Krisis politik ini tidak dapat dipisahkan daripada cabaran ekonomi. Defisit bajet Perancis kini berjumlah hampir $198 bilion, bersamaan 5.8 peratus daripada KDNK — hampir dua kali ganda had yang ditetapkan Kesatuan Eropah. Bayrou berjanji untuk menurunkannya kepada 3 peratus menjelang 2029, namun cadangan pemotongan sosial dan penghapusan cuti umum menimbulkan tentangan hebat.
Perancis, lebih daripada banyak negara Eropah lain, menganggap sistem kebajikan sosialnya sebagai warisan Revolusi yang tidak boleh disentuh. Sebarang usaha untuk mengubahnya, sama ada menaikkan umur persaraan atau mengurangkan manfaat sosial, segera mencetuskan protes jalanan.
MASA DEPAN YANG SAMAR
Macron telah menerima peletakan jawatan Bayrou dan dijangka menamakan pengganti dalam beberapa hari. Namun, pilihan yang ada sangat terhad. Perdana menteri daripada kalangan sosialis mungkin gagal meraih majoriti, sementara calon dari kem Macron sendiri hanya menawarkan solusi sementara.
Dengan sokongan presiden menjunam ke paras 15 peratus, jalan keluar dari kebuntuan ini kelihatan kabur. Apa pun, kenyataan terakhir Bayrou menjadi cerminan mendalam terhadap krisis semasa :
“Masalah, ancaman dan risiko untuk Perancis tidak akan berkurang. Parlimen punya kuasa untuk menggulingkan kerajaan, tetapi bukan kuasa untuk mengubah realiti.”
