
JOHANNESBURG — Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Sabtu menolak keras dakwaan bahawa Kuala Lumpur mencampuri pertikaian sempadan Thailand–Kemboja, menegaskan bahawa Malaysia hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam usaha mengurangkan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu.
Bercakap pada sidang media di Johannesburg sempena Sidang Kemuncak G20, Anwar menegaskan Malaysia kekal neutral dalam konflik yang semakin meruncing sejak Julai lalu.
“Sebagai jiran, sudah tentu kita prihatin. Tetapi kami tidak terlibat. Peranan kita hanyalah memudahkan dalam membantu kedua-duanya mencapai penyelesaian tanpa memberi apa-apa preskripsi khusus.” katanya.
Beliau menambah bahawa Thailand dan Kemboja sendiri melihat Malaysia sebagai “rakan” dalam proses damai tersebut.
Anwar turut mendedahkan bahawa Presiden AS Donald Trump turut menghubungi pihak terlibat, menunjukkan betapa mendalamnya kebimbangan antarabangsa terhadap potensi eskalasi konflik.
“Saya tidak fikir kita harus dihalang daripada tugas mencapai keamanan hanya kerana kenyataan beberapa elemen kecil yang tidak berpuas hati,” katanya.
PROTES DI BANGKOK CETUS TEKANAN BARU
Kenyataan Anwar muncul sehari selepas penunjuk perasaan di Bangkok berhimpun di hadapan Kedutaan Malaysia, menuduh beliau melampaui mandatnya sebagai pengerusi ASEAN dan mencabul kedaulatan Thailand.
Penunjuk perasaan membawa bendera Thailand dan sepanduk mendesak Malaysia menarik diri daripada sebarang perbincangan berkaitan sempadan mereka dengan Kemboja. Demonstrasi itu bergerak ke Kedutaan AS, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan notis keselamatan dan meningkatkan kawalan.
Kedutaan AS dalam satu kenyataan berkata Royal Thai Police dijangka menambah kehadiran bagi memastikan keselamatan dan aliran trafik di kawasan tersebut.
PERTIKAIAN BERSEJARAH YANG BERTERUSAN
Pertikaian sempadan Thailand–Kemboja merentasi sejarah lebih satu abad, sejak garis pemisah pertama dilakar pada 1907 oleh pentadbiran kolonial Perancis yang ketika itu menguasai Kemboja.
Sempadan sepanjang 817 kilometer itu kekal mengandungi beberapa titik yang tidak pernah ditanda secara jelas kekaburan yang menyebabkan ketegangan mudah tercetus.
Pergaduhan terbaru meletus pada Julai lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 48 nyawa dan memaksa lebih 300,000 orang melarikan diri sementara. Letupan periuk api yang masih bertaburan di kawasan konflik turut mencederakan sekurang-kurangnya tujuh askar Thailand sejak 16 Julai.
PERJANJIAN DAMAI KUALA LUMPUR: HARAPAN YANG TERGUGAT

Ketegangan mereda seketika apabila gencatan senjata brokered oleh Presiden Trump, diplomat China dan Anwar dicapai pada akhir Julai.
Pemimpin Thailand dan Kemboja kemudian menandatangani “Perjanjian Damai KL” pada Oktober di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan Anwar dan Trump hadir sebagai saksi.
Namun hanya beberapa minggu selepas itu, ketegangan kembali meningkat.
Menurut Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan, kedua-dua negara telah meminta Malaysia menganjurkan satu lagi rundingan damai di Kuala Lumpur.
“Mereka yang menghubungi kami,” katanya
Anwar juga menjangkakan perkara tersebut bakal dibangkitkan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul ke Malaysia pada 26 November.
MALAYSIA TEKANKAN PERANAN NEUTRAL
Anwar menolak keras naratif bahawa Malaysia mahu mempengaruhi politik domestik Thailand.
“Saya tidak tahu politik dalaman mereka untuk membolehkan saya campur tangan. Rakan-rakan kita di Thailand tidak boleh salah faham. Minat kita hanyalah membantu mereka mencapai keamanan.” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia akan kekal dengan pendirian awal menyokong penyelesaian secara diplomatik sambil mengelakkan diri daripada menyebelahi mana-mana pihak.
SUMBER : CNA
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
