
BAITULMAQDIS — Amaran keras dikeluarkan oleh Pejabat Gabenor Baitulmaqdis berhubung risiko struktur serius yang kini mengancam Masjid Al-Aqsa, salah satu tapak suci paling dihormati dalam Islam. Pihak berkuasa tempatan memberi amaran bahawa kerja-kerja penggalian bawah tanah yang dijalankan oleh rejim Zionis Israel berpotensi membawa kepada runtuhan sebahagian kawasan masjid dan bangunan bersejarah di sekitarnya.
Dalam kenyataan rasmi, Pejabat Gabenor menegaskan bahawa penggalian agresif di sekitar dan di bawah Kota Lama telah “melemahkan asas struktur Al-Aqsa dan meningkatkan kemungkinan berlakunya keruntuhan mendadak.” Aktiviti ini, menurut kenyataan itu, dijalankan oleh pihak berkuasa pendudukan Israel dengan kerjasama kumpulan penempatan haram Yahudi, di bawah alasan kerja arkeologi.
Sumber tempatan menyatakan bahawa penggerudian intensif dijalankan berhampiran tembok selatan dan barat Masjid Al-Aqsa, membentuk rangkaian terowong bawah tanah yang rumit dipercayai sebahagian daripada usaha mengubah realiti sejarah dan geografi kawasan Haram Al-Sharif.
Beberapa rakaman dan laporan lapangan menunjukkan kemunculan rekahan besar dan keretakan pada bangunan kediaman, sekolah serta struktur purba di sekitar Kota Lama, khususnya di kawasan Silwan dan Bab al-Maghariba. Pihak Gabenor menegaskan, “Setiap hari, lapisan tanah dikeluarkan, batu asas digali, dan sejarah sebenar Baitulmaqdis dihakis perlahan-lahan.”
Pakar warisan Islam dan pertubuhan antarabangsa telah lama memberi amaran bahawa penggalian ini bukan sekadar tindakan arkeologi, tetapi sebahagian daripada projek politik Israel untuk menukar identiti dan landskap sejarah Al-Quds, dengan matlamat memperkukuh naratif Yahudi di kawasan suci tersebut.
“Masjid Al-Aqsa bukan sahaja simbol keagamaan ia adalah nadi identiti umat Islam dan sejarah Palestin, apa yang sedang berlaku di bawah tanah, jika dibiarkan, boleh membawa kepada tragedi besar bukan hanya dari segi fizikal tetapi juga spiritual.” ujar seorang jurucakap pertubuhan penjaga tapak suci di Baitulmaqdis.
Sementara itu, laporan menyebut bahawa beberapa misi teknikal antarabangsa dan badan UNESCO telah berulang kali dihalang daripada menjalankan pemeriksaan bebas di kawasan berkenaan, menimbulkan persoalan besar mengenai tahap keselamatan struktur Al-Aqsa pada masa ini.
Dengan retakan yang semakin melebar dan terowong bawah tanah yang semakin dalam, amaran Gabenor Baitulmaqdis menggema satu mesej jelas: Masjid Al-Aqsa sedang berada di ambang bahaya sebenar.
SUMBER : SINAR HARIAN
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
