
WASHINGTON — Amerika Syarikat (AS) dilihat meningkatkan tekanan ketenteraannya terhadap kerajaan Nicolas Maduro apabila tiga pesawat pengebom strategik B-52H Stratofortress dikesan beroperasi berhampiran ruang udara Venezuela — satu langkah yang penganalisis anggap sebagai “amaran keras” kepada Caracas.
Data penerbangan menunjukkan pesawat-pesawat itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Barksdale di Louisiana sekitar jam 2.50 pagi waktu tempatan sebelum menyeberangi Teluk Mexico dan terbang di antara Mexico serta Cuba. Ketiga-tiganya kemudian berlegar di ruang udara Laut Caribbean, berhampiran sempadan udara Venezuela.
Langkah ini muncul di tengah-tengah peningkatan tekanan diplomatik dan ketenteraan oleh Presiden Donald Trump terhadap rejim Maduro termasuk tawaran ganjaran bernilai AS$50 juta bagi penangkapan presiden itu, serangan terhadap kapal yang didakwa membawa dadah, serta pengukuhan aset tentera AS di rantau tersebut.
Setakat ini, Washington masih belum mengeluarkan penjelasan rasmi mengenai objektif misi tersebut. Namun, pemerhati antarabangsa berpendapat tindakan itu sejajar dengan strategi baharu Rumah Putih untuk “menunjukkan keupayaan dan niat” dalam menghadapi kerajaan Caracas yang terus menentang tekanan Barat.
Pesawat B-52H, direka pada era Perang Dingin, berupaya membawa senjata konvensional dan nuklear dalam jarak operasi global serta terbang pada altitud lebih 50,000 kaki. Kehadirannya berhampiran Venezuela menandakan tahap eskalasi yang jarang berlaku sejak Washington menuduh Maduro melindungi kartel dadah dan mengancam keselamatan serantau.
Misi pengebom itu berlangsung hanya sehari selepas Trump mengumumkan bahawa pasukan tentera laut AS melancarkan “serangan kinetik maut” terhadap sebuah kapal yang didakwa digunakan pengedar dadah di perairan antarabangsa berhampiran Venezuela.
“Serangan itu dijalankan dengan jayanya — enam individu dikenal pasti sebagai pengganas dadah terbunuh, dan tiada anggota tentera AS yang cedera,” tulis Trump di platform Truth Social.
Sebagai tindak balas, Duta Venezuela ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Samuel Moncada, mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan pada Jumaat lalu, memberi amaran bahawa siri serangan laut dan penerbangan strategik AS itu merupakan “permulaan pencerobohan bersenjata terhadap negara berdaulat.”
Dengan ketegangan semakin meningkat di Laut Caribbean, pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa Venezuela kini berada di ambang satu lagi bab konfrontasi terbuka antara Caracas dan Washington — kali ini bukan sekadar perang kata-kata, tetapi demonstrasi kuasa ketenteraan.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
