
Presiden Donald Trump mengakui bahawa bantuan kecemasan Amerika Syarikat bernilai $20 bilion kepada Argentina bukan sekadar langkah ekonomi tetapi juga senjata politik untuk memastikan sekutunya, Presiden libertarian Javier Milei, mengekalkan kuasa dalam pilihan raya separuh penggal bulan ini.
Dalam sidang media bersama di Rumah Putih pada Selasa, Trump memberi amaran bahawa Amerika Syarikat “tidak akan membuang masa” membantu Argentina sekiranya parti Milei kalah dalam undian penting pada 26 Oktober.
Pilihan raya akan datang tidak lama lagi. Ia pilihan raya yang besar. Kemenangan Milei sangat penting,” kata Trump, dengan nada yang menggambarkan lebih banyak campur tangan politik daripada sekadar diplomasi.
Beliau menambah secara terbuka,
“Kelulusan kami agak tertakluk kepada siapa yang memenangi pilihan raya. Jika seorang sosialis menang, kami tidak akan bermurah hati dengan Argentina.”
TALIAN HAYAT ATAU CAMPUR TANGAN POLITIK?
Bantuan $20 bilion itu, yang diumumkan minggu lalu, direka untuk menstabilkan mata wang Argentina selepas peso menjunam ke paras terendah dalam sejarah moden. Tetapi kenyataan Trump menjadikan bantuan itu kelihatan lebih sebagai alat tekanan politik berbanding sokongan ekonomi ikhlas.
Trump menegaskan,
“Kami hanya membantu falsafah yang hebat mengambil alih sebuah negara yang hebat,”
merujuk kepada dasar pasaran bebas Milei yang kontroversial tetapi disanjung oleh Washington sebagai penawar kepada sosialisme Amerika Latin.
Namun, pengakuan bahawa bantuan itu dikaitkan terus dengan hasil pilihan raya Argentina mencetuskan kritikan antarabangsa, memandangkan Trump sebelum ini mencela campur tangan asing dalam pilihan raya Amerika sendiri.

ARGENTINA DI AMBANG KRISIS
Argentina kini berdepan krisis kewangan paling genting dalam dekad ini. Inflasi mencecah lebih 250%, rizab dolar asing semakin menipis, dan kerajaan Milei bergelut untuk membayar hutang antarabangsa berjumlah $20 bilion tahun depan.
Untuk mengekang kejatuhan nilai peso, kerajaan Milei menambat mata wang itu kepada rizab negara — strategi yang memelihara kestabilan jangka pendek tetapi menguras rizab dan meningkatkan risiko kejatuhan ekonomi sepenuhnya.
“Masalah kecairan yang kami hadapi ini adalah akibat serangan politik daripada pihak lawan,” kata Milei ketika duduk berhadapan dengan Trump di Rumah Putih.
Namun di Buenos Aires, para penganalisis memberi amaran bahawa masalah sebenar datang daripada kebergantungan Milei terhadap bantuan luar dan dasar penjimatan melampau.
SOKONGAN TRUMP, KETIDAKPASTIAN PASARAN
Pasaran saham Argentina menjunam sejurus selepas sidang media itu, apabila pelabur menilai kenyataan Trump sebagai tanda bahawa kestabilan ekonomi negara itu kini bergantung kepada keputusan politik, bukan prestasi pasaran.
“Campur tangan ini sepatutnya menstabilkan ekonomi Argentina, tetapi ia kini kelihatan seperti talian hayat bersyarat yang boleh diputuskan dengan keputusan pilihan raya.” kata seorang penganalisis kewangan di Buenos Aires
DILEMA MILEI : ANTARA REFORMASI DAN RISIKO POLITIK
Milei, yang memegang jawatan sejak Disember 2023, telah menjadi simbol reformasi ekonomi radikal di Amerika Selatan menamatkan subsidi besar-besaran, memotong perbelanjaan awam, dan cuba menyeimbangkan bajet negara buat pertama kali dalam lebih dua dekad.
Langkah itu dipuji oleh penyokongnya kerana berjaya menurunkan inflasi dalam jangka pendek, namun kos sosialnya sangat tinggi : potongan kepada pencen, pendidikan, kesihatan, dan subsidi pengangkutan telah mencetuskan protes besar-besaran di Buenos Aires.
Kini, pilihan raya separuh penggal bukan sekadar ujian terhadap dasar Milei, tetapi referendum terhadap model libertarianisme ekstrem di benua yang masih trauma dengan krisis ekonomi berulang.
ANALISIS : DIPLOMASI TRANSAKSIONAL TRUMP KEMBALI
Kenyataan Trump mencerminkan satu bentuk diplomasi baru “diplomasi transaksional” di mana bantuan ekonomi dikaitkan terus dengan kesetiaan politik.
Jika sebelum ini Washington menegaskan dasar bantuan luar berdasarkan kepentingan strategik atau kemanusiaan, kenyataan Trump menandakan perubahan dramatik: Amerika akan membantu hanya mereka yang selaras dengan ideologi Rumah Putih.
Bagi Argentina, mesejnya jelas: bantuan AS bukan lagi talian hayat, tetapi tali politik yang boleh ditarik bila-bila masa.
SUMBER : BBC NEWS
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
