
GENCATAN SENJATA TERHASIL TETAPI PERTEMPURAN POLITIK BARU BERMULA
Selepas dua tahun perang yang menghancurkan Gaza, dunia kini menyaksikan detik yang mungkin menentukan masa depan wilayah itu. Serangan udara terhenti, tentera Israel berundur, dan semua tebusan Israel yang masih hidup telah dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.
Namun, di sebalik kelegaan sementara itu, perhatian kini beralih kepada persoalan yang lebih besar: adakah rancangan damai Gaza yang baru ini benar-benar mampu membawa keamanan kekal atau sekadar jeda sebelum konflik seterusnya?
Pada Isnin, Mesir, Qatar dan Türkiye menandatangani perjanjian rasmi bersama Presiden AS Donald Trump di Sharm el-Sheikh satu pelan damai tiga fasa yang dirangka untuk menamatkan perang, melucutkan senjata Hamas, dan membina semula Gaza.
Trump menyifatkannya sebagai “peluang terbaik dalam satu generasi untuk keamanan Timur Tengah.” Tetapi di lapangan, kepercayaan masih rapuh dan persoalan masih banyak.
FASA PERTAMA : GENCATAN SENJATA DAN PEMBEBASAN TEBUSAN
Fasa pertama kini sedang berjalan menekankan penghentian penuh operasi ketenteraan, pembebasan tebusan dan tahanan, serta akses tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pengantara antarabangsa memuji kemajuan awal, tetapi mengakui keadaan masih “amat rapuh”. Sebarang pelanggaran kecil boleh mencetuskan keruntuhan seluruh proses.
“Kerja sebenar baru sahaja bermula, Gencatan senjata hanyalah prasyarat bukan penyelesaian.” kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio.

FASA KEDUA : DEMILITARISASI DAN RISIKO KEKOSONGAN KUASA
Fasa kedua dijangka paling rumit. Ia menyeru pelucutan penuh senjata Hamas, termasuk roket dan rangkaian terowong bawah tanah.
Sebagai balasan, pejuang Hamas mungkin ditawarkan pengampunan atau laluan selamat ke luar negara, sementara pasukan pengaman multinasional terdiri daripada negara Arab dan sekutu NATO akan dikerahkan bagi mengawasi peralihan.
Tentera Israel dijangka berundur secara berperingkat, tetapi mahu mengekalkan kawalan ke atas zon sempadan dan Koridor Philadelphi, kawasan strategik antara Gaza dan Mesir.
“Hamas mesti melucutkan senjata sepenuhnya,” tegas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Namun Hamas pula menuntut jaminan kukuh bahawa Israel tidak akan memulakan perang semula sesuatu yang hanya Trump boleh berikan secara politik.
Tiada siapa tahu berapa lama proses ini akan mengambil masa minggu, bulan, atau tahun.
FASA KETIGA : PEMBINAAN SEMULA DAN MASA DEPAN POLITIK GAZA
Jika pelucutan senjata berjaya, fasa ketiga akan menumpukan kepada pembinaan semula Gaza yang musnah dengan bantuan dijangka mencecah berbilion dolar daripada EU, negara Teluk dan AS.
Pelan Trump mencadangkan pemerintahan sementara berkecuali yang akan mengurus pemulihan sebelum diserahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) atau entiti baharu yang mewakili Gaza dan Tebing Barat.
Namun, ramai rakyat Palestin bimbang bahawa kerajaan “yang dilantik dari luar” tidak akan diterima rakyat Gaza.
“Tanpa legitimasi tempatan, tiada pentadbiran boleh bertahan,” kata seorang diplomat Mesir yang terlibat dalam rundingan itu.
PELUANG TERAKHIR TETAPI UNTUK SIAPA?
Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi menyifatkan pelan itu sebagai “peluang terakhir untuk keamanan di rantau ini,” manakala Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdoğan menegaskan bahawa “keamanan sejati hanya akan wujud melalui penyelesaian dua negara.”
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menggesa supaya gencatan senjata ini dijadikan titik mula kepada proses politik baharu ke arah kenegaraan Palestin.
Namun, rancangan damai ini secara sengaja mengelak daripada isu paling sensitif — kenegaraan Palestin itu sendiri.
BAYANGAN LAMA, KETAKUTAN BAHARU
Ramai pemerhati memberi amaran bahawa rancangan itu boleh gagal jika Israel enggan melepaskan kawalan keselamatan atau jika Hamas menolak pelucutan senjata.
“Selama berbulan-bulan, Netanyahu telah bercakap tentang mengekalkan pengawasan keselamatan langsung ke atas Gaza, Itu tidak selari dengan visi Palestin untuk kebebasan sebenar.” tulis penganalisis Israel, Amos Harel.
Bagi ramai rakyat Gaza, ketakutan tetap sama bahawa rancangan damai ini hanyalah cara baharu untuk mengekalkan status quo di bawah nama ‘keamanan.’
KESIMPULAN : ANTARA HARAPAN DAN REALITI
Rancangan damai Gaza mungkin merupakan inisiatif paling berani sejak Oslo, tetapi ia juga paling berisiko.
Kejayaannya memerlukan bukan sahaja persetujuan politik, tetapi juga kepercayaan yang telah lama hilang di antara Israel, Hamas, dan masyarakat antarabangsa.
Buat masa ini, Gaza menikmati keheningan yang belum tentu bermakna kedamaian. Soalan besarnya ialah berapa lama keheningan ini akan bertahan?
SUMBER : TRT WORLD
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
