
Ketika debu peperangan antara Israel dan Hamas mula reda di Gaza di bawah gencatan senjata yang rapuh, satu lagi pemain tentera serantau yang selama ini berada di pinggiran peta geopolitik muncul sebagai pemenang senyap: gerakan Houthi di Yaman.
Pemimpin kumpulan itu, Abdul-Malik al-Houthi, dilaporkan telah mengarahkan tenteranya menghentikan serangan ke atas Israel dan kapal yang dikaitkan dengan Tel Aviv, serangan yang telah menggoncang rantau Laut Merah selama hampir dua tahun. Namun, penghentian ini, menurut sumber diplomatik, bersyarat — ia akan kekal selagi Israel menghormati gencatan senjata di Gaza.
Keputusan ini menandakan sesuatu yang lebih besar: buat pertama kali, Houthi bukan melalui rundingan atau tekanan antarabangsa menentukan sendiri bila dan bagaimana mereka mahu menghentikan peperangan mereka dengan Israel. Ia adalah pengisytiharan simbolik bahawa Yaman, yang selama ini dilihat sebagai teater perang proksi, kini menjadi pemain bebas dalam paksi kuasa serantau.
DARI PEMBERONTAK KE KUASA SERANTAU
Selama dua tahun terakhir, ketika dunia menumpukan perhatian kepada Gaza, Lubnan, dan Iran, Houthi menjalankan kempen ketenteraan yang mencabar struktur global perdagangan dan pertahanan. Serangan terhadap perkapalan antarabangsa di Laut Merah telah menurunkan laluan maritim di Teluk Aden hampir 70 peratus, memaksa syarikat-syarikat besar dunia mengambil laluan alternatif yang lebih panjang dan mahal mengelilingi Tanjung Harapan di selatan Afrika.
Menurut Andreas Krieg, pensyarah kanan di King’s College London, prestasi Houthi dalam tempoh ini menjadikannya “salah satu pelakon bukan negara paling berdaya tahan dalam dekad ini.”
“Houthi membina sistem yang tidak bergantung kepada satu pusat kuasa tunggal. Rangkaian yang berlapis antara suku, ulama dan tentera menjadikan mereka sukar dimusnahkan,” katanya.
Walaupun diserang bertubi-tubi oleh Israel dan Amerika Syarikat, kumpulan itu terus melancarkan serangan balistik jarak jauh ke dalam wilayah Israel, termasuk ke atas Lapangan Terbang Ramon dan bandar peranginan Eilat, dengan beberapa serangan berjaya menembusi sistem pertahanan udara Iron Dome.
Bagi pemerhati seperti Ali Rizk, penganalisis keselamatan Lubnan, kekuatan sebenar Houthi bukan hanya di medan perang, tetapi dalam kemampuan mereka memaksa Amerika untuk menjarakkan diri daripada Israel dalam konteks Yaman.
“Houthi telah memaksa Washington untuk mengakui bahawa perang di Yaman tidak boleh ditentukan oleh Tel Aviv,” katanya.
JARAK GEOGRAFI, KEUNTUNGAN STRATEGIK
Tidak seperti Hizbullah di Lubnan atau Hamas di Gaza, Houthi beroperasi dari wilayah yang jauh dari jangkauan langsung Israel. Jarak ini menjadikan tindak balas Israel lebih terhad dan berisiko tinggi.
“Israel boleh melancarkan perang besar-besaran terhadap Lubnan tetapi bukan terhadap Yaman, Houthi mampu mengekalkan tekanan ke atas Israel tanpa membayar harga politik dan kemanusiaan yang sama seperti Hizbullah.” Jelas Rizk
Tambahan pula, Israel kekurangan jaringan risikan yang kukuh di Yaman. Tidak seperti di Lubnan dan Iran, di mana ejen perisik Israel telah berjaya menembusi lapisan kepimpinan musuh, Houthi kekal sebagai entiti yang tertutup dan sukar ditembusi, menjadikan serangan penyahkepimpinan (decapitation strike) kurang berkesan.

KEMENANGAN NARATIF DAN LEGITIMASI POLITIK
Selain kemenangan di medan peperangan, Houthi meraih kemenangan yang lebih besar — kemenangan naratif.
Menurut penganalisis Yaman Arwa Mokdad, tindakan Houthi menyerang kapal antarabangsa atas nama solidariti dengan Gaza telah “meningkatkan legitimasi domestik dan memperkukuh imej mereka sebagai pembela umat Islam.”
“Dalam imaginasi Arab, Houthi kini berdiri bersama paksi penentangan sebagai kuasa yang benar-benar menyerang Israel — sesuatu yang tidak dilakukan mana-mana kerajaan Arab,” katanya.
Kesan simboliknya besar. Banyak negara Arab, termasuk sekutu AS, enggan menamakan diri secara terbuka dalam pakatan tentera laut pimpinan Amerika yang menentang Houthi di Laut Merah — bimbang dilihat sebagai pihak yang “menentang kumpulan yang membantu Gaza.”
Houthi kini bukan sekadar pemberontak Yaman; mereka menjadi lambang baru paksi penentangan, mewakili semangat menentang hegemoni Israel dan Amerika di rantau Arab.
KEJATUHAN KERAJAAN ADEN DAN PENGESERAN KUASA
Sementara itu, kerajaan Yaman yang berpangkalan di Aden, yang masih diiktiraf antarabangsa, semakin tenggelam dalam kekacauan dalaman.
Gabungan anti-Houthi yang dipayungi Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) kini berpecah antara kepentingan puak dan tekanan ekonomi yang parah.
Serangan Houthi ke atas pelabuhan selatan pada 2022 menghentikan eksport minyak sumber utama hasil kerajaan sekaligus melemahkan struktur pentadbiran. Dalam keadaan itu, Houthi kini berunding secara langsung dengan Arab Saudi, bekas musuh utama yang kini melihat mereka sebagai realiti kuasa di Yaman.
“Ungkapan ‘kerajaan yang diiktiraf antarabangsa’ kini hanya wujud di atas kertas, Houthi memegang utara yang padat penduduk dan berurusan terus dengan kuasa besar.” kata Krieg.
DARI PINGGIRAN KE PUSAT PETA KUASA
Dengan pengaruhnya yang meningkat di Laut Merah, legitimasi domestik yang bertambah, dan kemampuan ketenteraan yang tahan uji, Houthi kini muncul sebagai kuasa serantau baru Timur Tengah pasca-perang Israel.
Ketika Hamas dan Hizbullah menanggung kos politik dan kemanusiaan yang berat, Houthi menempatkan diri sebagai pelaku yang menang tanpa kehilangan banyak — sekutu ideologi Iran yang kini berdiri dengan keyakinan sendiri.
Persoalannya kini, apabila gencatan senjata Gaza berpanjangan dan ketegangan serantau mula reda, adakah Houthi akan mengekalkan momentum mereka — atau berubah menjadi kuasa politik penuh di Semenanjung Arab?
SUMBER : MIDDLE EAST EYE
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
