
Menteri Keselamatan Negara Israel yang terkenal dengan pendirian pelampau-kanannya, Itamar Ben-Gvir, sekali lagi mencetuskan kecaman antarabangsa selepas bermegah tentang layanan keras terhadap ratusan aktivis kemanusiaan yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel daripada Flotilla Global Sumud, armada bantuan yang menuju ke Gaza minggu lalu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh akhbar Yedioth Ahronoth, Ben-Gvir mengakui bahawa beliau sendiri melawat Penjara Ketziot, penjara berkeamanan tinggi di padang pasir Negev, bagi memastikan aktivis yang ditahan “tidak menerima sebarang layanan istimewa.”
“Saya berbangga kerana kami menganggap aktivis flotilla ini sebagai penyokong keganasan,” kata Ben-Gvir tanpa berselindung.
“Mereka sepatutnya merasakan sendiri bagaimana keadaan di Penjara Ketziot dan berfikir dua kali sebelum cuba mendekati Israel semula. Begitulah ia berfungsi.”
Menteri yang sering menjadi simbol retorik anti-Arab itu turut menyatakan rasa bangganya terhadap Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) dan ketua pesuruhjayanya, Kobi Yaakobi, yang menurutnya “melaksanakan dasar tegas tanpa kompromi.”
“Saya berbangga dengan pegawai IPS yang bertindak mengikut dasar kami, Saya tidak melihat sebarang bantuan kemanusiaan atau belas kasihan dalam kalangan mereka [aktivis]. Jika mereka datang dengan harapan akan disambut dengan permaidani merah dan tepukan gemuruh, mereka silap besar.” katanya.
LAPORAN PENGANIAYAAN DAN KEADAAN PENJARA YANG TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN
Beberapa aktivis yang telah dibebaskan sejak penahanan besar-besaran itu mendedahkan keadaan penjara yang digambarkan sebagai “menindas dan tidak berperikemanusiaan”. Mereka melaporkan bahawa ramai aktivis, termasuk wanita dan warga emas, dikurung dalam sel sempit tanpa akses mencukupi kepada air, makanan dan rawatan perubatan asas.
Organisasi hak asasi manusia antarabangsa turut mengesahkan bahawa penahanan besar-besaran lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara itu tidak mempunyai asas undang-undang yang jelas, dan bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa mengenai kebebasan pergerakan dan bantuan kemanusiaan.
ARMADA YANG DIHALANG : FLOTILLA GLOBAL SUMUD
Flotilla Global Sumud merupakan konvoi antarabangsa terbaru yang berusaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza yang telah berlanjutan lebih 17 tahun. Armada itu membawa bahan makanan, ubat-ubatan, dan bekalan asas untuk penduduk Gaza, yang kini berdepan krisis kemanusiaan paling parah sejak perang terbaru bermula.
Tentera laut Israel memintas armada itu lewat Rabu di perairan antarabangsa sebelum menahan kesemua penumpang dan merampas kapal bantuan mereka. Walaupun kecaman antarabangsa memuncak, Tel Aviv tetap mempertahankan tindakannya dengan alasan “keselamatan negara” naratif yang sering digunakan untuk menjustifikasi sekatan terhadap Gaza.
SUMBER : TRT WORLD
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
