
Kuala Lumpur — Selepas beberapa hari rundingan diplomatik yang penuh ketegangan, kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel ketika insiden pemintasan Global Sumud Flotilla (GSF) kini menuju ke kebebasan. Mereka dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel ke Istanbul, Turkiye sebelum kembali ke tanah air, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pembebasan itu berlaku hasil kerjasama rapat antara kerajaan Malaysia dan Turkiye, dengan Presiden Recep Tayyip Erdoğan memainkan peranan penting dalam menyelaras rundingan. Anwar menyifatkan keputusan itu sebagai satu “kelegaan,” sambil menekankan kesan emosi dan fizikal yang ditanggung para sukarelawan selepas apa yang digambarkannya sebagai “layanan keras rejim Zionis.”
“Semalam, tiga daripada sukarelawan kita agak keberatan menandatangani arahan pengusiran Israel. Namun selepas perbincangan bersama kepimpinan Sumud Nusantara Command Center, mereka akhirnya bersetuju. Alhamdulillah, kini kesemua 23 orang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ramon untuk menaiki pesawat khas ke Istanbul.” kata Anwar dalam kenyataannya.
PERSINGGAHAN DI ISTANBUL SEBELUM PULANG
Kumpulan sukarelawan itu akan ditempatkan di Istanbul sekurang-kurangnya sehari bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan penilaian trauma sebelum diterbangkan pulang ke Kuala Lumpur, seawal Ahad malam atau Isnin.
“Mereka perlu menjalani pemeriksaan akibat tekanan dan trauma sepanjang penahanan, kita doakan perjalanan mereka selamat tiba di Istanbul dan seterusnya ke tanah air.” Ujar Anwar.
LEBIH DARI ISU MALAYSIA SAHAJA
Misi Global Sumud Flotilla gabungan antarabangsa aktivis, petugas kemanusiaan dan tokoh politik digerakkan untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan. Namun, kapal-kapal misi tersebut dipintas dan dirampas oleh tentera Israel minggu ini, dengan ratusan sukarelawan dari Indonesia, Turkiye serta beberapa negara Eropah turut ditahan.
Anwar menegaskan walaupun fokus utama kerajaan adalah memastikan keselamatan rakyat Malaysia, isu ini jauh lebih luas.
“Kita berbincang juga dengan rakan-rakan di Turkiye, Eropah, Indonesia dan negara lain. Ini bukan sekadar isu Malaysia ini adalah usaha global untuk menunjukkan betapa zalimnya kepungan ini,” katanya.
SIMBOL PERLAWANAN DAN KESEDARAN
Bagi Anwar, insiden ini bukan sekadar kegagalan misi kemanusiaan, tetapi bukti nyata tentang kekejaman Israel dan pengabaiannya terhadap norma antarabangsa.
“Mereka bukan sahaja menentang apa yang mereka gelar kumpulan pengganas yang kita lihat sebagai gerakan pembebasan Palestin malah mereka turut menyekat bantuan kemanusiaan, inilah akibat apabila sebuah negara dipimpin dengan falsafah yang zalim dan tidak bertamadun. Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan.”katanya.
Beliau menambah bahawa flotilla itu telah berjaya membuka mata dunia.
“Mereka sudah menyumbang secara besar kepada kesedaran ratusan juta orang di seluruh dunia,” ujarnya.
DIKAITKAN DENGAN INISIATIF DAMAI TRUMP
Menariknya, Anwar mengaitkan kemarahan dunia terhadap serangan Israel ke atas flotilla ini dengan perkembangan geopolitik lebih besar, termasuk cadangan gencatan senjata terbaru oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Saya percaya sentimen global sedikit sebanyak memberi tekanan kepada rundingan, Malaysia menyokong secara terbatas cadangan ini, tetapi kita tetap menuntut jaminan kebebasan dan kemerdekaan Palestin. Penyelesaian hanya bermakna jika ada pemberhentian serangan, akses kemanusiaan, dan pembebasan tahanan di kedua-dua pihak.” kata Anwar.
KEMENANGAN MORAL WALAUPUN GAZA TIDAK TERCAPAI
Walaupun flotilla itu gagal menembusi halangan untuk sampai ke Gaza, bagi pihak Malaysia misi ini tetap dianggap berjaya. Ia menekankan kepentingan perjuangan Palestin dan mendedahkan kepada dunia sifat penafian sistematik Israel terhadap hak asasi manusia.
“Mereka tahu bukan mudah untuk sampai ke Gaza di bawah penjajahan, Tetapi mereka telah berjaya menyampaikan mesej dan memberikan sumbangan besar dalam membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.” akui Anwar.
SUMBER : HARIAN METRO
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
