
Amman, Jordan — Dalam langkah kecemasan diplomatik dan perundangan, lima peguam hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan sukarelawan negara yang ditahan dalam serangan Israel terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) mendapat perlindungan undang-undang yang telus dan adil.
Pasukan guaman tersebut, terdiri daripada Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan, dihantar selepas laporan mengesahkan bahawa 15 sukarelawan Malaysia telah ditahan oleh tentera Israel ketika kapal mereka dipintas di zon merah Laut Mediterranean, dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
KERJASAMA DENGAN PEGUAM ANTARABANGSA
Dir Kheizwan berkata pasukan itu akan mewakili delegasi Malaysia dan berhubung rapat dengan The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH), sebuah badan guaman berpangkalan di Israel yang terkenal dalam memperjuangkan hak asasi Palestin, selain bekerjasama dengan peguam antarabangsa lain.
“Ya, kami masih dalam urusan perundangan dan sekejap lagi akan ke Kedutaan Malaysia di Jordan. Kemungkinan besar delegasi Malaysia yang ditahan akan dihantar balik melalui Jordan. Namun kami juga bersedia ke Mesir sekiranya deportasi dibuat melalui Kaherah,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Fahmi Abd Moin menambah bahawa langkah CENTHRA (Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia) menghantar pasukan guaman adalah penting bagi memastikan hak rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu terbela, terutama memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh berlaku, antaranya aktivis akan dibawa ke pelabuhan Israel untuk dokumentasi imigresen sebelum dihantar pulang melalui Amman atau Kaherah. Mereka juga mungkin ditahan sehingga 72 jam di bawah undang-undang imigresen Israel, atau lebih lama sekiranya dilabel sebagai ‘pengganas’,” jelasnya.
CENTHRA : ISRAEL LANGGAR UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA
Dalam kenyataan rasmi, CENTHRA mengecam keras tindakan Israel terhadap flotilla tersebut, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa.”
Menurut organisasi itu, sekatan laut Israel ke atas Gaza bercanggah dengan San Remo Manual (Artikel 102) kerana menyasarkan penduduk awam dan menghalang bantuan kemanusiaan. Tambahan pula, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pendapat penasihat Julai 2024 menegaskan bahawa pendudukan Israel adalah tidak sah serta menyeru semua negara memastikan penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Misi flotilla ini adalah misi aman dan kemanusiaan, dilindungi oleh hak kebebasan pelayaran antarabangsa (UNCLOS, Artikel 87). Sebagai kuasa pendudukan yang tidak sah, Israel wajib memastikan bekalan makanan dan ubatan sampai ke Gaza, berdasarkan Konvensyen Geneva Keempat,” tegas kenyataan itu.
CENTHRA turut mengingatkan bahawa kelaparan digunakan sebagai senjata perang, satu jenayah yang telah menjadi asas waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant.
KECAMAN ANTARABANGSA SEMAKIN MENINGKAT
SNCC (Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara) dalam kenyataan berasingan mengesahkan bahawa sehingga 3.30 petang Khamis, sekurang-kurangnya 15 sukarelawan kemanusiaan Malaysia telah ditahan Israel. Jumlah keseluruhan aktivis antarabangsa yang ditahan dijangka meningkat selepas tentera laut Israel menyerang lebih daripada selusin kapal flotilla.
Masyarakat sivil antarabangsa kini memberi tekanan agar aktivis segera dibebaskan. Banyak NGO menyifatkan tindakan Israel sebagai “penculikan maritim” yang mencabuli hak kebebasan individu serta meletakkan nyawa aktivis dalam bahaya.
Dengan peguam-peguam Malaysia kini berada di Amman dan menjalin kerjasama dengan firma guaman antarabangsa, perhatian dunia tertumpu kepada nasib sukarelawan flotilla sama ada mereka akan segera dihantar pulang, atau terus menjadi mangsa penahanan Israel di tengah krisis kemanusiaan Gaza yang berlarutan.
SUMBER : BERNAMA
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
