
Rome — Itali mengumumkan bahawa ia akan menarik balik sokongan ketenteraan terhadap sebuah flotilla antarabangsa yang sedang dalam perjalanan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, satu perkembangan dramatik yang berlaku ketika aktivis di atas kapal memberi amaran bahawa mereka kini berada dalam keadaan “berjaga-jaga” menjelang kemungkinan konfrontasi dengan Israel.
Flotilla yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, terdiri daripada lebih 40 kapal awam dan membawa lebih daripada 500 orang, termasuk ahli politik, peguam, wartawan, serta aktivis iklim Sweden Greta Thunberg. Misi mereka jelas : menembusi sekatan laut Israel yang telah mengepung Gaza selama bertahun-tahun.
Dalam satu kenyataan lewat malam, Kementerian Pertahanan Itali mengesahkan bahawa kapal frigat yang sebelum ini mengiringi konvoi akan menghentikan operasi sebaik flotilla memasuki jarak 150 batu nautika (278 kilometer) dari pantai Gaza. Satu langkah yang dijangka berlaku sekitar tengah malam GMT.
“Itali tidak akan terlibat secara langsung dalam sebarang konfrontasi ketenteraan,” kata kenyataan itu
sambil menegaskan bahawa kerajaan telah menawarkan kompromi agar bantuan dihantar ke pelabuhan Cyprus untuk diagihkan melalui saluran antarabangsa. Namun cadangan itu ditolak oleh penganjur flotilla.
“Kami katakan sekali lagi: armada ini akan terus berlayar. Tentera laut Itali tidak akan menggagalkan misi ini. Tuntutan kemanusiaan tidak boleh dihentikan di pelabuhan,” kata flotilla dalam kenyataannya.
DARI SERANGAN MISTERI HINGGA AMARAN ISRAEL
Perjalanan flotilla itu tidak sunyi daripada cabaran. Minggu lalu, konvoi tersebut diserang oleh dron bersenjata dengan bom tangan dan bahan kimia perengsa ketika berlayar di perairan antarabangsa berhampiran Greece. Walaupun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab, aktivis menuding jari kepada Israel.
Kerajaan Israel enggan mengulas tuduhan tersebut, namun menyatakan secara terbuka bahawa ia akan menggunakan “apa sahaja cara” untuk menghalang kapal-kapal itu daripada sampai ke Gaza. Israel menegaskan sekatan lautnya adalah sah kerana menjadi sebahagian daripada perang berterusan terhadap Hamas.
“Israel mungkin akan menyerang kami malam ini, semua isyarat menunjukkan perkara ini akan berlaku.” kata jurucakap flotilla dari Itali, Maria Elena Delia, dalam sebuah video yang dimuat naik ke Instagram.
TEKANAN DIPLOMATIK DI EROPAH
Keputusan Itali menarik diri datang selepas beberapa hari rundingan intensif di peringkat Eropah. Itali dan Sepanyol sebelum ini menghantar kapal tentera laut hanya untuk tujuan perlindungan pasif, bukan untuk campur tangan ketenteraan. Namun keadaan semakin sukar untuk Rom, terutamanya apabila Washington meningkatkan tekanan agar armada berundur.
Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni secara terbuka menggesa flotilla menghentikan misinya, dengan alasan ia boleh menjejaskan cadangan keamanan 20 perkara yang dibentangkan oleh Presiden Donald Trump untuk menyelesaikan konflik di Gaza.
Di Vatican, Pope Leo menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan lebih 500 aktivis itu.
“Dari semua pihak, orang ramai berharap agar tidak ada keganasan, dan agar nyawa manusia dihormati,” katanya kepada pemberita di Rom.
MENUNGGU KONFRONTASI DI LAUT
Penganalisis ketenteraan menjangkakan Israel akan memintas flotilla jauh dari pantai Gaza, seperti mana yang berlaku dalam insiden terkenal Mavi Marmara pada tahun 2010, apabila tentera Israel menyerang kapal bantuan Turki dan mengorbankan sembilan aktivis.
Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto berkata, beliau menjangkakan aktivis kali ini juga akan berdepan penahanan di laut terbuka. Tetapi tidak seperti pada 2010, kali ini misi flotilla disertai tokoh-tokoh berprofil tinggi, termasuk ahli parlimen Eropah, yang boleh menjadikan sebarang operasi tentera Israel lebih rumit secara diplomatik.
Bagi penganjur flotilla, misi ini adalah simbol penentangan global terhadap pengepungan Gaza. Namun bagi Israel, ia adalah cabaran terhadap kedaulatan dan keselamatan nasional.
Apa yang berlaku dalam beberapa jam akan datang di Laut Mediterranean berkemungkinan besar menentukan bukan sahaja nasib flotilla itu, tetapi juga hala tuju perdebatan global tentang sekatan, bantuan kemanusiaan, dan konflik Israel-Palestin.
SUMBER : THE GUARDIAN
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
