
NEW YORK — Sepuluh tahun selepas sekatan ekonomi dan ketenteraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digugurkan di bawah satu perjanjian bersejarah, ia kini kembali menghantui Iran. Langkah itu diaktifkan apabila tiga kuasa Eropah United Kingdom, Perancis, dan Jerman mencetuskan mekanisme “snapback”, menuduh Tehran melakukan “peningkatan nuklear berterusan” serta gagal bekerjasama dengan badan pengawas antarabangsa.
Sekatan baharu ini mencatat detik suram bagi Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), perjanjian 2015 yang suatu ketika dahulu digembar-gemburkan sebagai kejayaan diplomatik paling penting dalam mengendurkan ketegangan antara Barat dan republik Islam yang lama terpinggir. Perjanjian itu mengehadkan kapasiti pemasangan nuklear, simpanan uranium, serta penyelidikan Iran sambil membenarkan pembangunan tenaga nuklear awam.
Namun, dinamika berubah drastik sejak Amerika Syarikat menarik diri pada 2018 di bawah pentadbiran Donald J. Trump. Washington ketika itu menyifatkan JCPOA sebagai “cacat” dan memilih untuk mengenakan tekanan maksimum. Sejak itu, Tehran secara beransur-ansur meningkatkan pengayaan uranium dan memperluaskan aktiviti nuklear yang melanggar had perjanjian.
SERANGAN ISRAEL-AS MENGUBAH LANSKAP
Pergeseran terbaru bermula pada bulan Jun apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan siri pengeboman terhadap tapak nuklear serta pangkalan tentera Iran. Serangan itu, menurut Washington dan Tel Aviv, bertujuan melemahkan keupayaan nuklear Tehran serta menghukum Iran kerana terus membekalkan senjata kepada proksi serantau yang menyerang Israel.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengutuk serangan itu sebagai “melanggar undang-undang antarabangsa” dan menegaskan negaranya tidak berniat membangunkan senjata nuklear. Namun tindak balas Tehran segera : pemeriksaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke atas kemudahan nuklearnya digantung.
Walaupun IAEA mengesahkan pada Jumaat lalu bahawa akses pemeriksaan telah disambung semula, Eropah berpendapat Iran sudah terlalu jauh menyimpang daripada komitmennya.
“Kami tiada pilihan selain mencetuskan mekanisme snapback, keengganan Iran untuk bekerjasama dan kegagalannya menjawab kebimbangan berulang kali.” kata menteri luar E3 dalam kenyataan bersama
DIPLOMASI DI TALIAN NIPIS
Langkah Eropah itu bukan sahaja menghidupkan semula sekatan, tetapi turut menutup pintu rundingan yang masih terbuka. Percubaan terakhir untuk mencari jalan keluar di luar Perhimpunan Agung PBB minggu lalu berakhir tanpa persetujuan.
Pezeshkian dalam reaksi keras menyifatkan sekatan itu sebagai “tidak adil, menyalahi undang-undang, dan tidak wajar.” Beliau memberi amaran bahawa langkah ini boleh “meletakkan perjanjian nuklear dalam bahaya sepenuhnya,” walaupun mengendurkan retorik sebelum ini tentang kemungkinan Iran keluar dari Perjanjian Non-Proliferasi (NPT).
Tehran turut menolak permintaan Washington supaya menyerahkan semua simpanan uranium yang diperkayanya sebagai syarat kelonggaran sementara sekatan.
“Mengapa kita harus meletakkan diri dalam perangkap sedemikian dan mempunyai tali di leher setiap bulan?” tanya Pezeshkian kepada wartawan.
ISRAEL BERSORAK, DUNIA BIMBANG
Israel segera menyambut baik keputusan itu. Dalam kenyataan rasmi, kerajaan menyifatkan pengembalian sekatan sebagai “perkembangan penting” dan menyeru komuniti antarabangsa supaya menggunakan “setiap alat” bagi menghalang Iran mencapai status kuasa nuklear.
Namun bagi banyak pihak, kebimbangan semakin mendalam. Pengenalan semula sekatan dilihat berisiko mengheret rantau itu ke kitaran baharu konflik, mengurangkan insentif Tehran untuk berunding, dan mendorongnya mempercepatkan program nuklear sebagai bentuk tekanan balas.
Walaupun Eropah menekankan bahawa tindakan mereka “bukan penamat diplomasi,” peluang untuk menghidupkan kembali semangat JCPOA kini tampak semakin pudar. Seperti yang diakui seorang diplomat Barat di New York :
“Kita kini berada di titik di mana sama ada diplomasi dipertahankan dengan sukar, atau dunia kembali kepada ancaman nuklear yang terbuka.”
SUMBER : BBC NEWS
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
