
Israel dilaporkan telah mengarahkan pasukan komando laut elitnya, Shayetet 13, untuk memintas armada Global Sumud Flotilla (GSF), sebuah misi kemanusiaan antarabangsa yang sedang berlayar menuju ke Gaza dengan tujuan mencabar sekatan laut yang dikenakan rejim Zionis sejak lebih 17 tahun lalu.
Menurut laporan media tempatan yang disiarkan di Saluran 12 Israel, operasi ketenteraan itu dijangka melibatkan tindakan menawan kapal-kapal flotila, menahan sukarelawan di atasnya, dan memindahkan mereka ke sebuah kapal khas yang digelar sebagai “penjara terapung terbesar di dunia.” Kapal itu dipercayai telah diubah suai untuk berfungsi sebagai pusat penahanan sementara.
Pihak berkuasa Israel turut memberi amaran bahawa sukarelawan boleh berdepan dengan tempoh tahanan yang panjang sekiranya mereka terus berkeras menentang arahan tentera laut. Dalam senario paling ekstrem, Israel dilaporkan bersedia untuk menenggelamkan atau merampas kapal-kapal flotila, menjadikannya aset tentera laut mereka.
KOMANDO LAUT YANG DIGELARKAN “BAYANGAN GELAP”
Pasukan Shayetet 13, unit elit yang sering dibandingkan dengan Navy SEALs Amerika Syarikat terkenal dengan operasi khas berprofil tinggi, termasuk misi sabotaj laut, serangan ke atas kapal musuh, serta operasi rahsia di luar negara. Identiti anggotanya dirahsiakan, dan unit ini sering digambarkan sebagai barisan “bayangan gelap” dalam strategi tentera laut Israel.
Tindakan mengerah Shayetet 13 untuk berdepan flotila sukarelawan mencerminkan betapa seriusnya Israel melihat ancaman simbolik misi ini, meskipun ia tidak bersenjata.
FLOTILA TEGAS MENERUSKAN PELAYARAN
Di sebalik amaran keras Israel, sukarelawan dalam misi GSF bertegas bahawa mereka tidak akan berpatah balik. Beberapa peserta memuat naik kenyataan di media sosial yang menegaskan komitmen mereka untuk menembusi sekatan demi menyalurkan bantuan kepada lebih dua juta rakyat Palestin yang terperangkap di Gaza.
“Kami serahkan segala-galanya kepada Mu ya Allah. Teruskan bercakap tentang Gaza. Mohon doa semua,” tulis seorang sukarelawan dari delegasi Malaysia.
Armada flotila dilaporkan kini berada kurang daripada 1,000 kilometer (sekitar 621 batu) dari Semenanjung Gaza dan dijangka mendekati kawasan yang paling sensitif dalam beberapa hari akan datang.
KEBIMBANGAN MALAYSIA
Malaysia, yang menghantar 34 orang wakil dalam flotila tersebut, menekankan bahawa keselamatan warganya adalah keutamaan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Putrajaya sedang menyelaras usaha diplomatik dengan negara-negara berdekatan Palestin bagi memastikan keselamatan delegasi Malaysia.
“Kami akan mengutamakan usaha koordinasi keselamatan dengan kerjasama negara-negara berdekatan Palestin bagi memastikan semua peserta selamat dibawa pulang,” katanya.
ULANGAN SEJARAH 2010
Tindakan Israel terhadap flotila kemanusiaan mengingatkan kembali tragedi pada Mei 2010, apabila tentera laut Israel menyerbu kapal Mavi Marmara, sebahagian daripada armada Freedom Flotilla, yang membawa aktivis dan bantuan ke Gaza. Serbuan itu mengakibatkan kematian sembilan aktivis Turki dan mencetuskan kemarahan antarabangsa, termasuk ketegangan diplomatik yang berpanjangan antara Israel dan Turkiye.
Kini, dengan Shayetet 13 sekali lagi diarahkan untuk memintas kapal-kapal bantuan, pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa sebarang insiden ganas berpotensi mencetuskan kecaman global yang sama, malah lebih besar, dalam konteks perang Gaza yang berlarutan.
ANTARA SIMBOL DAN RISIKO
Bagi Israel, flotila mungkin tidak mengancam keselamatan ketenteraannya secara langsung. Namun, keberanian sukarelawan untuk menentang sekatan memberi kesan simbolik yang besar terhadap citra antarabangsa Israel, menambah tekanan diplomatik yang semakin meningkat daripada negara-negara Barat dan Global South.
“Flotila ini bukan soal senjata, tetapi soal naratif, Israel boleh menawan kapal-kapal itu dengan mudah, tetapi setiap imej komando bersenjata menyerbu sukarelawan awam hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa Gaza sedang terkepung dan dikepung secara tidak adil.”, kata seorang penganalisis di Eropah.
SUMBER : KOSMO ONLINE
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL MEDAN UTAMA BERITA GEOPOLITIK YANG MENYELURUH DAN TERKINI
