
New York — Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyampaikan ucapan yang lantang dan penuh amaran pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, menegaskan bahawa dunia sedang menyaksikan “perlumbaan senjata paling merosakkan dalam sejarah manusia” didorong oleh kecerdasan buatan dan teknologi dron.
Dalam pidato yang disifatkan sebagai antara yang paling tegas sejak perang Rusia-Ukraine bermula, Zelenskyy menolak kebergantungan kepada institusi antarabangsa sebagai jaminan keselamatan. Beliau menekankan bahawa hanya negara yang bersenjata dengan baik dan mempunyai sekutu yang benar-benar komited mampu bertahan.
“Tiada jaminan keselamatan tanpa rakan dan senjata. Jika sesebuah negara mahukan keamanan, ia tetap perlu mengusahakan senjata, kerana senjata menentukan siapa yang terselamat.”katanya.
KRITIKAN TAJAM TERHADAP PBB
Zelenskyy tidak berselindung dalam kritikannya terhadap peranan PBB. Beliau menyoal apa yang boleh diharapkan oleh rakyat Sudan, Somalia, Palestin, atau mana-mana negara yang terjerat dalam konflik bersenjata daripada organisasi itu.
“Selama beberapa dekad, apa yang mereka dapat hanyalah kenyataan,” ujarnya.
menyindir PBB kerana gagal memberikan tindakan nyata kepada negara-negara yang terperangkap dalam peperangan.
Bagi Zelenskyy, undang-undang antarabangsa hanya mampu berfungsi jika ada kuasa besar yang benar-benar bersedia mempertahankannya.
“Dan itu juga tidak berfungsi tanpa senjata,” tegasnya.
DRON, AI DAN PERUBAHAN LANDSKAP PEPERANGAN
Sebahagian besar ucapannya ditumpukan pada perubahan dramatik dalam teknologi perang. Zelenskyy memberi amaran bahawa dunia sedang bergerak terlalu perlahan dalam menyesuaikan diri dengan cabaran baharu terutama kemunculan dron murah dan sistem senjata berautonomi yang digerakkan kecerdasan buatan.
“Senjata berkembang lebih pantas daripada keupayaan kita untuk mempertahankan diri. Kini terdapat berpuluh-puluh ribu orang yang tahu cara membunuh secara profesional menggunakan dron.” katanya.
Jika sebelum ini hanya kuasa besar mampu mengoperasikan dron kerana kosnya yang tinggi, kini dron komersial yang murah sekalipun mampu terbang beribu-ribu kilometer. Fenomena ini, katanya, telah menghapuskan halangan geografi dan menjadikan setiap titik di dunia berisiko menjadi medan tempur.
“Hanya menunggu masa sebelum dron melawan dron, menyerang infrastruktur kritikal dan menyasarkan orang ramai secara sendirian,” kata Zelenskyy.
Beliau turut memberi amaran bahawa peperangan masa depan mungkin sepenuhnya berautonomi, dengan hanya segelintir manusia yang mengawal sistem berasaskan AI.
MENGHENTIKAN PUTIN SEKARANG LEBIH MURAH
Zelenskyy menyampaikan mesej jelas kepada negara-negara anggota: tindakan segera menyokong Ukraine bukan sahaja soal solidariti, tetapi juga soal kos masa depan.
“Menghentikan perang ini sekarang adalah lebih murah daripada membina tadika bawah tanah atau bunker besar-besaran untuk infrastruktur kritikal nanti,” katanya.
Beliau menambah, membiarkan Rusia terus mara akan mengundang risiko lebih besar termasuk potensi dron laut yang mengancam pelabuhan global atau bahkan dron mudah yang dilengkapi hulu peledak nuklear.
“Faktanya mudah, menghentikan Putin sekarang lebih murah daripada cuba melindungi setiap pelabuhan, setiap kapal, dan setiap bandar daripada serangan pengganas masa depan.”kata beliau
DUNIA DI PERSIMPANGAN
Ucapan Zelenskyy menggambarkan sebuah dunia yang sedang berdepan peralihan besar dalam geopolitik dan teknologi peperangan. Jika Perang Dingin menyaksikan perlumbaan nuklear, abad ke-21 kini menyaksikan perlumbaan dron dan AI lebih murah, lebih mudah diakses, tetapi tidak kurang mematikan.
Bagi Ukraine, pilihan itu sudah jelas. Negara itu tiada pilihan selain membangunkan senjata dron untuk mempertahankan “hak untuk hidup.” Bagi masyarakat antarabangsa, persoalannya ialah sama ada dunia mahu bertindak sekarang, atau membayar harga lebih tinggi kemudian.
“Senjata menentukan siapa yang terselamat,” ujar Zelenskyy.
sekali lagi mengingatkan dunia bahawa dalam realiti peperangan moden, keamanan bukan lagi soal diplomasi semata-mata, tetapi soal kekuatan bersenjata yang boleh dipertahankan.
SUMBER : EURO NEWS
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
