
Gaza hari ini bukan sahaja dibentuk oleh bom dan peluru, tetapi juga oleh jentolak berperisai yang bergerak perlahan namun membawa kesan yang menghancurkan. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, jentera berat buatan Amerika Caterpillar D9 yang digelar “Doobi” atau “Teddy Bear” dalam bahasa Ibrani telah menjadi simbol baru strategi Israel untuk mengubah geografi Gaza. Mesin ini, dilengkapi dengan perisai tambahan dan teknologi kawalan jauh, bukan sekadar memusnahkan bangunan; ia mengikis seluruh identiti kolektif sebuah wilayah yang sudah lama dikepung.
SENJATA SENYAP : DARI LADANG ZAITUN KE BANDAR GAZA
Sejak Januari lalu, selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meluluskan pemindahan 134 unit jentolak D9 kepada Israel, penggunaannya meningkat secara mendadak. Walaupun langkah itu datang selepas pengumuman gencatan senjata Gaza-Israel, Israel segera melanggar perjanjian tersebut. Hanya beberapa minggu kemudian, operasi besar-besaran diberi nama “Gideon’s Chariots” dilancarkan pada 16 Mei, memusnahkan lebih 2,100 bangunan di Khan Yunis sahaja.
Jentolak-jentolak ini bukan sekadar alat pembinaan, tetapi dijadikan tulang belakang operasi ketenteraan. Ia meratakan kawasan kejiranan, memutuskan infrastruktur asas, dan membongkar ladang zaitun sumber ekonomi dan simbol kebudayaan masyarakat Palestin. Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 92 peratus daripada struktur kediaman Gaza kini musnah sama ada sebahagian atau sepenuhnya.
OPERASI LOGISTIK GERGASI
Penghantaran jentolak D9 ke Israel sendiri dianggap sebagai operasi logistik udara dan laut terbesar dalam sejarah negara itu. Pada bulan Julai, berpuluh-puluh unit baru tiba, dengan Tel Aviv sebelum itu meminta pembelian tambahan bernilai $295 juta. Pentadbiran Trump mempercepatkan perjanjian itu, memintas proses kelulusan Kongres.
Dengan tentera Israel semakin kekurangan tenaga kerja, Kementerian Pertahanan mula mengupah kontraktor swasta untuk mengendalikan operasi perobohan. Iklan di media sosial menawarkan sehingga $882 sehari kepada pemandu jentolak. Laporan penyiasatan oleh Haaretz pula mendedahkan lebih 500 kenderaan kejuruteraan berat kini digunakan di Gaza, dengan kos operasi mencecah hampir $30 juta sebulan.
WARISAN NAKBA : DARI PLAN DALET KE D9
Strategi jentolak ini bukan fenomena baru. Ia mengakar dari tahun 1947-1949, ketika Nakba “The Catastrophe” mengusir sekitar 750,000 rakyat Palestin dan memusnahkan lebih 400 kampung. Sejak pertama kali Israel memperoleh D9 pada tahun 1950-an, ia telah digunakan dalam hampir setiap konflik utama: dari Krisis Suez 1956, Intifada Pertama dan Kedua, hinggalah ke Gaza hari ini.
Jentolak Caterpillar yang asalnya direka untuk kegunaan awam diubah suai oleh syarikat senjata Israel Aerospace Industries (IAI) dengan perisai, senjata tambahan, dan sistem kawalan jauh yang dibangunkan bersama Universiti Technion di Haifa.
Walaupun terdapat cabaran undang-undangnseperti kes keluarga Rachel Corrie, seorang aktivis Amerika yang mati dilanggar jentolak Israel pada 2003 urusan pembelian jentolak tetap diteruskan. Kes itu akhirnya ditolak oleh mahkamah Amerika, membuka jalan untuk Israel terus menerima peralatan Caterpillar dengan dana subsidi cukai rakyat AS.
DOKTRIN PEROBOHAN NEGARA
Dari 1967 hingga 2011, Israel telah merobohkan sekurang-kurangnya 28,000 rumah Palestin, kebanyakannya menggunakan jentolak. Di Gaza, serangan pada 2012 dan 2014 menyaksikan pola sama: penghancuran rumah, sekolah, dan ladang sebagai taktik perang.
Jentolak ini juga menjadi simbol budaya politik Israel. Ariel Sharon, bekas perdana menteri yang terkenal dengan dasar kerasnya terhadap Palestin, sering digelar “The Bulldozer.” Gelaran itu mencerminkan bukan sahaja personaliti politiknya, tetapi juga doktrin perobohan negara yang diwariskan hingga kini.
Di Tebing Barat, dasar perobohan dilaksanakan atas nama “tindakan hukuman.” Rumah keluarga pelaku serangan terhadap warga Israel akan dimusnahkan, sebuah bentuk hukuman kolektif yang dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia antarabangsa. Di Baitulmaqdis Timur pula, Undang-Undang Harta Tidak Hadir 1950 memberi ruang kepada negara untuk merampas kediaman Palestin, sementara permit bangunan hampir mustahil diperoleh.
Taktik serupa kini digunakan di luar Palestin: wilayah Quneitra di Syria dan selatan Lubnan menyaksikan jentolak Israel mewujudkan “zon keselamatan” baharu.
EKONOMI PEROBOHAN : DARI TEL AVIV KE WALL STREET
Keterlibatan syarikat Barat menjadikan doktrin jentolak Israel sebagai sebuah industri global. Caterpillar bukan satu-satunya syarikat yang terbabit. Volvo dari Sweden membekalkan jengkaut yang digunakan dalam perobohan rumah di Hebron dan pembinaan penempatan haram seperti Har Gilo. Hyundai Heavy Industries dari Korea Selatan menyediakan jengkaut trek yang digunakan untuk membina jalan khusus peneroka, termasuk projek yang memusnahkan 700 pokok zaitun pada 2017.
Syarikat automotif Amerika turut memainkan peranan. General Motors menandatangani perjanjian pada 2022 untuk membekalkan enjin dan kenderaan tentera kepada Israel. AM General, pengeluar Humvee, pula membekalkan ratusan kenderaan yang kini digunakan bagi menyokong operasi perobohan di Gaza.
PENUTUP : GAZA DAN BAYANG-BAYANG NAKBA
Setiap kali jentolak D9 bergerak, ia membawa gema sejarah 1948. Dari Plan Dalet hingga ke Gaza hari ini, doktrin perobohan Israel mendedahkan kesinambungan sebuah strategi: mengubah geografi bagi mengubah demografi.
Jika bom dan roket boleh difahami sebagai senjata perang, jentolak menjadi lebih daripada itu senjata senyap yang menghapuskan komuniti, sejarah, dan masa depan. Gaza yang rata bukan sekadar landskap perang, tetapi lanjutan daripada Nakba yang tidak pernah berakhir.
SUMBER : THE CRADLE
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
