
DAMSYIK — Presiden Syria, Ahmed al-Shara, menyatakan bahawa rundingan antara kerajaannya dan Israel berhubung pengaturan keselamatan di sepanjang sempadan bersama boleh menghasilkan persetujuan dalam masa terdekat berpotensi seawal beberapa hari akan datang.
Kenyataan itu menandakan detik bersejarah dalam hubungan kedua-dua negara yang secara rasmi berada dalam keadaan bermusuhan sejak lebih tujuh dekad lalu. Israel dan Syria telah berperang berulang kali sejak 1948, dengan isu paling berpanjangan tertumpu pada Dataran Tinggi Golan, wilayah strategik yang ditawan Israel dalam Perang Arab-Israel 1967.
Sejak penggulingan Bashar al-Assad oleh pemberontakan yang dipimpin al-Shara pada Disember lalu, kerajaan baharu Syria berusaha menonjolkan imej lebih pragmatik. Selepas lebih 13 tahun perang saudara yang melumpuhkan ekonomi, infrastruktur, dan angkatan tentera negara itu, Damaskus kini memberi keutamaan kepada kestabilan.
Kami sudah bosan dengan konflik. Syria memerlukan keamanan dengan jirannya, Kami boleh mencapai persetujuan pada bila-bila masa. Cabarannya ialah sama ada Israel sanggup berpegang kepada perjanjian tersebut.”
kata al-Shara dalam pertemuan bersama penyelidik dan wartawan di ibu negara pada Rabu. “
RUNDINGAN DENGAN PENGANTARAAN AMERIKA SYARIKAT
Menurut pegawai Syria, rundingan yang berlangsung selama berbulan-bulan itu dimediasi oleh Washington, dengan Ron Dermer, Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, mengetuai delegasi Israel. Pegawai Israel enggan memberikan butiran lanjut mengenai perbincangan tersebut.
Bagi Israel, kebimbangan utama ialah memastikan selatan Syria bebas daripada tentera kerajaan atau pasukan proksi yang dianggap bermusuhan, termasuk kumpulan bersenjata yang bersekutu dengan Iran dan Hizbullah. Israel telah mengekalkan kehadiran tenteranya di dalam wilayah Syria sejak beberapa tahun lalu, selain melancarkan ratusan serangan udara termasuk berhampiran istana presiden di Damaskus atas alasan mempertahankan diri.
Al-Shara menegaskan bahawa Syria masih menghormati perjanjian gencatan senjata 1974 yang mewujudkan zon penampan dikawal PBB antara tentera kedua-dua pihak, meskipun Israel berulang kali melanggar persetujuan itu. Katanya, rundingan semasa bertujuan mengemaskini susunan tersebut dengan pengaturan sempadan baharu, termasuk pemantauan antarabangsa
STATUS GOLAN TIDAK DISENTUH
Walaupun isu kedaulatan kekal sebagai titik pertikaian terbesar, al-Shara menjelaskan bahawa status Bukit Golan dan Gunung Hermon — wilayah yang kini dipegang Israel tetapi diiktiraf masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Syria tidak termasuk dalam rundingan semasa.
Keutamaan kami sekarang ialah keselamatan sempadan dan kestabilan dalaman, ujar beliau.
PENGARUH TERHAD SYRIA
Penganalisis berpendapat Syria memasuki meja rundingan dengan kedudukan tawar-menawar yang lemah. Kehancuran akibat perang saudara, bersama kebergantungan ekonomi terhadap bantuan asing, membataskan ruang manuver al-Shara. Israel pula mengekalkan dominasi ketenteraan di kawasan selatan Syria dan tidak menunjukkan tanda mahu menarik balik kehadirannya dalam masa terdekat.
Namun, kenyataan presiden itu menunjukkan keterbukaan Damaskus terhadap pengaturan sementara yang boleh mengurangkan risiko eskalasi di sepanjang sempadan.
Jika perjanjian benar-benar dimuktamadkan dalam beberapa hari, ia akan menandakan perubahan dramatik dalam landskap geopolitik Timur Tengah membuka ruang kepada satu era hubungan Syria-Israel yang lebih pragmatik, meskipun jauh daripada perdamaian sepenuhnya.
SUMBER : THE NEW YORK TIMES
IKUTI THE MERDEKA JOURNAL HARI INI UNTUK MENDAPATKAN LIPUTAN GEOPOLITIK TERKINI YANG TEPAT, MENDALAM DAN MENYELURUH
